Tuesday, August 11, 2009

Lurus atau berliku ?


Sekarang bukan zaman bermenung ...


Itulah lirik lagu yang dinyanyikan semula oleh Raja Pop Jamal Abdillah.


Tidak ada masa untuk bermenung. Tetapi aku akan tetap memerlukan masa untuk merancang dan merancang dan terus merancang.


Buka mudah untuk merancang dalam keadaan 'buta' dalam serba serbi. Tetapi, daripada aku mendiamkan diri, lebih baik aku terus merancang dan mempunyai wawasan jelas untuk hidup aku dan keluarga.


Aku hampir tertawa yang tidak dapat dibendung. Bila satu soalan mudah dilontarkan oleh isteri aku. Tetapi aku sendiri tergagap untuk menjawabnya.


"Kenapa Abang hendak tampal iklan berbayar didalam bangunan ? Bukankah banyak pokok ... tampal sahaja di pokok atau di dinding perhentian bas ... kita bukannya ada modal."


Aku hanya merenung tajam mata isteriku. Tetapi mulut aku terkunci. Apa yang dikatakan oleh isteri aku memang ada kebenarannya.


Emel sudah ... jejak bertapak di blog sudah ... bercakap dari mulut ke mulut pun sudah ... jadi apa lagi yang aku perlu lakukan untuk mengiklankan perkhidmatan atau bisnes aku ?


Hari ini, aku mencari kedai kereta yang boleh memasang peralatan untuk meletakkan tangga diatas kereta Kancil aku. Aku ingatkan senang, rupanya hampir seluruh kedai di Klang, Bandar Bukit Tinggi tidak menjualnya. Melainkan ada sebuah gerai tembaga yang boleh melakukannya tetapi dengan harga yang tidak masuk akal.


Aku harus berusaha lagi ... dan lagi ... dan lagi ...


Untuk ke puncak dunia, aku harus melalui jalan, atau laluan atau tangga yang berliku. Jangan pedulikan tentang masalah, tapi fikirkan tentang pengalaman yang bakal diraih sepanjang perjalanan.

Friday, August 7, 2009

Cahaya Baru. Harapan Baru.


Aku merasa sungguh terharu. Bukan kepalang. Terasa seperti rezeki 'turun' dari langit.


Seorang HAMBA ALLAH, telah memasukkan sejumlah wang, kerana Allah, untuk membantu aku membina semula kehidupan yang hampir musnah.


Sungguh aku terasa bagikan bermimpi. Setelah 16 bulan kehidupan aku tidak seperti manusia yang lain. Dan aku cuba untuk bangkit semula. Dan aku terus merayu, merintih kehadrat Allah, akhirnya, dengan kehendakNya juga, aku terasa seperti seseorang telah 'diutuskan' untuk membantu aku, yang serba - serbi kekurangan.


Tidak menunggu lama, sebaik mengambil wang dari mesin, aku terus menghala ke sebuah kedai menjual barangan pertukangan.


TANGGA. Itulah bahan pertama dan paling utama yang aku perlukan dalam usaha untuk memulakan kembali survival aku dalam bisnes ini.


Sebaik TANGGA itu aku bawa balik. Anak - anak aku keriangan. Seolah - olah TANGGA itu bakal membawa keluarga keluar dari himpitan hidup.


YA. Dan INSYAALLAH. TANGGA itulah yang akan menjadi faktor perubahan dalam bisnes aku. Setelah aku memulakan bisnes ini, antara yang menjadi penghalang utama untuk menerima tawaran ialah kekurangan alatan dalam bisnes.


Sekarang bukan lagi masa untuk aku berehat. Sekarang adalah waktu dimana aku perlu berjuang bermati - matian. Setelah lebih dari 100 kali aku berusaha dan menghadiri sessi temuduga, dan tetap gagal, dan setelah usaha aku untuk berniaga tidak menampakkan sebarang usaha kearah kejayaan. Kini, aku perlu bersedia dan terus melawan, anasir - anasir yang boleh menggugat kehidupan aku.


Aku bukan sahaja perlu bersaing dengan peniaga lain. Dan ini merupakan persaingan yang sihat. Aku juga perlu melawan 'anasir jahat' yang berada dalam diri aku. Yang telah berusaha untuk menakluki diri aku selama ini.


Bak kata seorang pemimpin hebat di negara kita "LAWAN TETAP LAWAN!"

Tuesday, August 4, 2009

Kasih Saudara


Semakin banyak yang aku pelajari dari sehari ke sehari. Terlalu banyak.


InsyaAllah, satu ketika nanti, aku akan senaraikan nama - nama insan yang telah membantu aku membina semula kehidupan aku selama ini.


Mereka - mereka inilah yang membantu tanpa mengharapkan balasan. Membantu sedaya upaya. Membantu tanpa bertanya apa yang mereka akan perolehi dimasa hadapan.


Sememangnya mereka - mereka inilah yang begitu dekat dihati aku. Aku terasa begitu sayu dan terlalu gembira. Masih ada lagi manusia yang berhati mulia seperti mereka.


Wahai anak - anakku. Bukan semua saudara mara terdekat akan membantu dan menghulurkan bantuan. Tetapi mereka yang bukan sedarah daging dengan kita yang akan berusaha dengan segala kudrat yang mereka ada untuk membantu Abah diwaktu kita dalam kesusahan.


Oleh itu wahai anak - anakku. Sentiasalah berbuat baik dengan sesiapa sahaja. Ingatlah pesanan orang tua - tua "Bersaudara sewaktu berada."


Kuatkanlah hatimu dan kukuhkanlah semangatmu wahai anak - anakku. Abah menulis berdasarkan pengalaman yang begitu perit dan menyeksakan sekarang.

Monday, July 27, 2009

Membuka Minda.


Hampir semua sahabat, kenalan dan saudara memberikan satu nasihat dan satu perkataan - BERSABAR. Dan setakat itu sahajalah penyelesaiannya. Tidak ada satu usaha untuk memberikan aku harapan dan laluan yang jelas bagaimana untuk aku keluar dari himpitan hidup.


Syukur Alhamdulillah. Masih ada makhluk ciptaan Allah yang mempunyai daya fikir yang berupaya membantu manusia lain.


Seorang sahabat, yang telah berkata kepada aku "Engkau cuba lihat bara yang menyala, kelihatan cantik, panas, tetapi dalam masa yang sama kelihatan menakutkan".


Sahabat aku terus menyambung "Cantik dan panas ... itu adalah kemahuan dan kehendak manusia ... tetapi menakutkan adalah persepsi manusia... maka, kamu cuba ambil satu idea, iaitu membuka bisnes tanpa memerlukan modal ... kalau adapun, terlalu sedikit ... dan kamu jadikan bisnes itu satu yang kelihatan cantik dan panas".


Aku termangu .... "mana ada bisnes tanpa modal?" Aku menyatakan kehairanan.


Lalu dalam ketawa, sahabat aku berkata "Engkau pernah dengar bisnes yang hanya menggunakan modal air liur?"


Akhirnya, tanpa disengajakan, aku tertawa jua ....

Monday, July 20, 2009

Umatku umpama buih dilautan ...


Renungan disaat - saat genting ...


Andainya satu ketika nanti. Anak - anak aku membaca entri disini. Maka, Abah ingin menyatakan dan menceritakan bahawa. Diwaktu Abah menaip entri ini, Abah benar - benar berada didalam keadaan yang amat tertekan.


Abah hanya mampu bertafakur dan beristighfar. Memohon dan memohon dan memohon dan terus memohon kasih sayang dan bantuan serta pertolongan dari Allah.


Segala yang Abah buat, semuanya tidak menjadi. Sudah hampir 100 tempat Abah pergi untuk sessi temuduga, semua masih belum berjaya. Bisnes yang Abah usahakan masih belum kelihatan sebarang tanda untuk dijadikan sumber rezeki.


Disaat ini juga. TIDAK ADA seorang manusia pun yang mengetahui penderitaan hidup Abah memelihara anak - anak. Dan kalau ada yang tahu pun, ramai yang hanya mampu berkata - BERSABARLAH.


Sejujurnya, Abah sudah tidak tahu kemana hendak pergi. Apa yang perlu dilakukan. Buntu sebuntu buntunya.


Teringat Abah akan sebuah hadith nabi yang berbunyi. Diakhir zaman kelak umat aku akan menjadi seperti buih di lautan. Bilangan mereka terlalu ramai, tetapi mereka tidak ada kekuatan langsung.


Wahai anak - anak ku. Seandainya satu ketika kelak, kita berjaya mencapai segala kemewahan dunia. Maka, jangan kita lupa untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan.


Jangan SESEKALI kamu berkata kepada fakir, miskin, orang - orang yang dhaif , dan orang - orang yang meminta bantuan - BERSABARLAH.


Berikan apa sahaja yang kamu ada. Ingat, setiap harta yang kamu berikan kepada orang yang memerlukan, maka Allah akan gantikan dengan yang Maha Hebat.


Hatta, percayalah dengan ajaran Islam. Bahawasanya harta yang kita berikan dan belanjakan untuk jalan Islam. Maka Allah akan gantikan dengan sehebat - hebat gantian dan ganjaran yang tidak terfikir oleh kita.


Wahai anak - anak ku. Janganlah engkau biarkan jiran kita berada didalam kesusahan. Hatta jika mereka berada didalam kelaparan. Maka di akhirat kelak KAMU akan dipertanggungjawabkan !


Wahai anak - anak ku. Abah masih menunggu bantuan dari 'langit.'

Friday, July 17, 2009

RANGKA yang bersemangat...


Umpama sebuah kereta, tanpa enjin, tanpa tayar, tanpa sebarang perlatan didalamnya. Cuma dan semata - mata badan atau rangkanya sahaja.


Begitulah aku disaat ini. Hendak memulakan sesuatu yang baru. Perkara yang tidak pernah aku lakukan. Tanpa asas pengetahuan. Tanpa bantuan dari rakan sekerja. Tanpa modal asas.


Dalam tempoh beberapa minggu ini. Memang fikiran aku terlalu kusut. Aku tidak mahu memikirkan tubuh aku yang lemah akibat penyakit yang aku tanggung. Aku tidak mahu memikirkan sangat nasib badan dan nasib isteri dan anak - anak aku. Bagi aku, semua itu adalah ujian dari Allah.


Andainya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada diri aku atau keluarga aku. Apa lagi yang boleh aku lakukan dalam keadaan aku sebegini. Aku redha dan pasrah sahaja.


Hendak diharapkan kepada umat Islam atau badan Islam atau badan kebajikan Islam. Rasanya usaha aku HAMPA sahaja. Aku memang tidak hairan langsung andainya ramai umat Islam yang telah MURTAD, akibat kurang daya tahan menanggung penderitaan.


InsyaAllah, berbekalkan semangat yang masih bersisa. Aku teruskan juga usaha untuk melakukan sesuatu yang terbaik buat keluarga aku. Aku mahu lakukan sesuatu yang sukar dilakukan oleh seorang manusia.


Aku mahu berjaya, walaupun tanpa - tangan, kaki, mata, telinga.

Saturday, July 11, 2009

DIARI KEHIDUPAN. Tanpa tapisan !


Sudah hampir seminggu aku tidak menulis disini. Bukan kerana malas, tetapi aku memang tidak sempat untuk menulis atau meninggalkan sebarang catatan.


Blog ini adalah blog yang benar - benar peribadi. Hanya ada beberapa orang saudara dan sahabat sahaja yang mengetahui tentang kewujudan blog ini. Kalau dahulu, kita menulis diari. Tetapi kini, semua yang berlaku dalam kehidupan seseorang terakam didalam pelbagai cara. Ada yang menulis didalam diari atau buku catatan. Ada yang menulis didalam blog peribadi, samada untuk bacaan sendiri ataupun untuk dikongsi pengalaman bersama orang lain. Dan yang terkini, ramai yang menulis atau mencatatkan perjalanan kehidupan seharian didalam 'facebook.'


Dalam seminggu ini, aku benar - benar sibuk. Semuanya adalah untuk menyelesaikan begitu banyak urusan keluarga. Dan aku benar - benar letih. Terlalu banyak membuat perjalanan jauh.


Andainya catatan ini 'dibuka' untuk tatapan umum satu hari nanti. Maka, perlu diingat, ini adalah catatan peibadi dari 'isi hati' aku sendiri yang melihat dengan mata aku sendiri, mengalaminya sendiri dan aku tuliskan diruangan ini. Jika ada sesiapa yang 'terasa hati' dengan catatan disini, mereka tidak perlu kecil hati, kerana yang pasti, ramai saudara mara dan sahabat yang melakukan banyak perkara yang mengguriskan hati dan perasaan aku.


Diwaktu aku menulis ini, aku masih tidak mempunyai pekerjaan tetap. Sudah lebih dari 15 bulan kehidupan aku merana, azab, sengsara. Dan penyakit yang aku tanggung juga belum kelihatan tanda pemulihan yang berkesan.


Hampir semua sanak saudara yang mengetahui keadaan diri aku yang sebenar, tetapi sayangnya, semuanya hanya mengeluarkan sepatah perkataan sahaja iaitu - KASIHAN, BERSABARLAH.


Tidak ada langsung usaha mereka untuk membantu aku dengan cara yang terbaik. Samada untuk mencarikan kerja, atau mencuba untuk membantu dalam pelbagai cara yang baik dan munasabah.


Hanya seorang sahaja sahabat aku yang sering menghubungi aku untuk bertanyakan khabar. Dan bertanya, samada 'beras, gula, garam' masih ada dirumah aku ataupun sudah habis. Masih aku ingat dan sengaja aku catatkan tulisan disini. Pernah sekali aku 'diserang' penyakit misteri ini, lalu aku mengirimkan sms untuk memohon bantuan dari sahabat aku, bertanyakan andai beliau mengetahui mana - mana bomoh, atau pawang atau dukun yang boleh membantu. Lantas sahabat aku ini mengesyorkan satu tempat untuk berubat, dan bukan itu sahaja, sahabat aku ini terus sahaja memasukkan sejumlah wang kedalam akaun aku. Untuk tujuan berubat katanya.


Andainya ditakdirkan, satu ketika Allah mengubah nasib aku. Menjadikan kehidupan aku jauh lebih baik dari sekarang. Maka, catatan disini juga akan turut berubah. Kepada pembaca sekalian, jangan baca satu entri sahaja, TETAPI, bacalah keseluruhan entri untuk mengetahui kisah sebenar kehidupan aku.


Diwaktu ini - 12/07/2009.


Setelah lebih dari 15 bulan aku merana, sengsara dan derita. Aku telah pelajari begitu banyak perkara. Jelas kelihatan dimata, bagaimana aku dihina. Aku tidak dipedulikan. Suara aku adalah 'sampah' yang tidak mahu didengari oleh sesiapapun !


Jadi, bermula dari tarikh entri ini aku tuliskan. Aku telah nekad untuk mengambil keputusan drastik. Aku tidak mahu bercakap banyak.


Kini, baru aku tahu hakikat kehidupan yang sebenarnya. Aku perhati dan aku teliti SETIAP orang atau individu dalam keluarga aku, saudara mara aku, sahabat aku dan kawan - kawan aku. Aku TAHU, siapa yang telah membantu aku dengan seikhlasnya.


Yang pasti. Adik - adik kandung aku, benar - benar menunjukkan sikap sebagai saudara kandung. Mereka bukan sahaja menyatakan simpati, malah mereka telah berusaha bersungguh - sungguh untuk membawa ABANG mereka untuk keluar dari kesusahan. Begitu banyak pengorbanan mereka untuk aku ! Hakikatnya, kehidupan mereka juga susah.


Dimalam yang sunyi. Aku duduk keseorangan. Menghadapkan wajah aku. Menghadapkan tubuh aku. Mengangkat tangan memohon kehadrat Allah. Sesuatu yang terbaik buat diri aku, isteri dan anak - anak aku dan saudara kandung aku dan sahabat yang banyak membantu aku selama ini.

Sunday, July 5, 2009

Terkulai layu ...


Selama lebih dari satu tahun. Menanggung pelbagai ujian dan musibah. Dalam keadaan diri aku yang tidak stabil. Aku terus berusaha menemui pelbagai pihak untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.


Kesemua mereka yang aku temui yang pakar dalam bidang masing - masing menyatakan satu perkara yang sama. Aku terkena buatan orang. Aku dizalimi. Aku terkena sihir.


Aku seperti tidak percaya. Namun, kejadian demi kejadian yang berlaku selama tempoh ini membuatkan aku terpaksa menyedari dan menerima hakikat ini.


Aku masih dalam keadaan tergamam. Masih dalam keadaan terkejut. Masih dalam keadaan bingung. Masih dalam keadaan sedih. Masih dalam keadaan pilu yang teramat sangat. Aku masih berada didalam keadaan yang tidak ketentuan dan ketidakpastian ...


Beberapa hari yang lalu, telah muncul seorang insan yang berhati mulia. Telah menyatakan kesediaan untuk membantu aku membina kembali hidupku yang telah terumbang ambing lebih dari setahun ini.


Aku terima huluran bantuan kemanusiaan itu dengan hati yang berbunga. Aku berasa bangga, kerana akhirnya ada juga insan yang bersedia membantu aku dan keluarga yang sedang azab, sengsara menanggung penderitaan dalam hidup ini.


Insan berhati mulia ini telah memberikan idea yang begitu baik sekali untuk aku teroka. Aku bersemangat semula untuk memulakan hidup ini, dan mencari nafkah buat keluarga.


Aku begitu takjub dengan keprihatinan insan ini. Dimana selama beberapa hari, beliau bertungkus lumus untuk menunjukkan arah atau jalan untuk menuju kejayaan.


Tetapi, rupa - rupanya, langit yang kulihat cerah ... tiba - tiba sahaja ...


Insan berhati mulia ini terpaksa menarik diri disaat - saat aku baru hendak mula bernafas ... dan bertatih...


Walau apapun keputusan insan ini, aku ingin merakamkan ucapan TERIMA KASIH atas keprihatinan beliau terhadap aku sekeluarga.


Aku tidak mampu untuk berbuat apa - apa. Aku masih dalam keadaan terlalu lemah. Dan kini, aku terpaksa mencari semula 'talian hayat.'


Tiba - tiba sahaja telinga aku terngiang - ngiang dengan ucapan seorang sahabat aku yang berugama Kristian "Saudara, jangan bimbang, Yesus sentiasa akan membantu ..."


Thursday, July 2, 2009

KOS UBAT MAHAL


Sakit. Sakit. Sakit.


Anak ke 5. Adam Muhammad Behjad. Telah mendapat sakit. Aku tidak pasti sakit apa, tetapi seperti kudis atau kayap dibahagian bawah lengan. Aku dan isteri membawa ke Klinik Kerajaan di Pandamaran. Setelah diperiksa. Doktor menyatakan bahawa, itu adalah sakit kulit yang normal.


Namun, inilah kali pertama, pihak klinik hanya memberikan ubat sapu sahaja. Manakala ubat antibiotik perlu dibeli di farmasi luar.


Pihak klinik kerajaan menyatakan bahawa ubat itu mahal. Dan mereka tidak menyediakan ubatan itu.


Sewaktu pulang. Aku telah singgah di beberapa buah farmasi sekitar Pelabuhan Klang dan Klang.


Sejujurnya, apabila dipantau harganya dibeberapa buah farmasi. Harga antibiotik itu dipasaran ialah antara RM25 - RM30. Mana aku mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu.


Kini, aku BERSERAH diri dan BERTAWAKAL sepenuhnya kepada Allah.


Adakah aku bersikap zalim ?


Ya Allah. Engkau Maha Mengetahui.

Tuesday, June 30, 2009

Kata dari Sahabat dan Kata dari Tuhan


Seorang sahabat berkata "Kamu jangan buat kerja gila, tinggalkan anak dan isteri di Klang, kamu seorang sahaja balik dan kerja di Taiping, boleh mati anak - anak dan isteri kamu di Klang ...banyakkan bersabar."


Seorang sahabat berkata "Kamu memang tidak ada perikemanusiaan, kamu kerja di Taiping, dan isteri kamu buat segala - galanya di Klang ... macam orang bercerai ... bersabarlah sedikit".


Seorang sahabat berkata "Kamu fikirlah semasak - masaknya ... apakah sudah habis kerja di Klang sampai kamu hendak kerja di Taiping yang belum pasti ada ... kamu memang tidak ada kesabaran langsung!"


Seorang sahabat berkata "Kamu tidak fikirkah kalau anak isteri kamu sakit, siapakah yang akan melihat dan membantu mereka ... banyakkan bersabar wahai saudaraku."


Semuanya memberikan KENYATAAN atau gambaran seolah - olah mereka begitu menyayangi dan mengasihi diri aku. Tetapi, hakikatnya, semuanya memberikan nasihat yang baik tanpa melihat dan mengetahui senario keseluruhan yang real.


Yang pasti ... TIDAK SEORANG pun yang cuba atau berusaha memberikan idea dan mencarikan kerja buat aku. Bukan aku minta mereka mencarikan kerja, tetapi cukuplah dengan memberikan panduan atau tunjuk ajar atau memaklumkan yang ada kerja ditempat tertentu.


Hanya ada seorang sahaja sahabat yang menurut fikiran aku agak bijak dalam mengendalikan situasi aku.


"Saudaraku, yang pasti hanya Allah dan kamu sahaja yang mengetahui keadaan sebenar yang kamu tempuhi disaat ini ... hidup dan mati kita ditentukan oleh Allah ... rezeki juga ditentukan Allah ... kalau kamu tinggalkan anak dan isteri kamu di Klang, tetapi Allah mahu supaya kehidupan mereka mudah ... maka mudahlah segalanya ... yang penting, kamu sudah ISTIKHARAH dan memohon petunjuk dari Allah."


Sahabat aku tidak menyebut langsung perkataan SABAR. Yang ditekankan ialah - MEMOHON PETUNJUK dari ALLAH.


# Ini adalah catatan sewaktu aku didalam keadaan dhaif. Aku rakamkan namamu wahai Sahabatku yang memberikan kata - kata yang paling berkesan dalam hidupku - MOHAMAD FADZIL.

Thursday, June 25, 2009

KERJA SAKIT


Seorang sahabat telah bertanya, mana lebih sakit antara - Sakit sewaktu bekerja dengan sakit sewaktu tiada kerja ? Sahabat aku bertanya dalam nada bergurau.


Aku menjawab dalam nada serius. Begitu serius. Tidak ada langsung roman yang manis pada wajahku.


Sakit sewaktu kerja memang sakit. Sakit tidak ada kerja, lagi sakit. Dan aku sudahlah sakit yang benar - benar sakit. Ditambah lagi dengan sakit sebab tidak ada kerja.


Ya Allah, aku adalah HAMBA ABDI MU yang MAHA LEMAH.
Ya Allah, aku adalah HAMBA ABDI MU yang MAHA DHAIF.
Ya Allah, aku adalah HAMBA ABDI MU yang telah melakukan dosa yang MAHA BESAR.


Aku sudah tidak berdaya ...


Aku hanya memohon dari MU supaya membuka pintu rezeki.


"Berilah aku pekerjaan ... supaya aku dapat membawa pulang rezeki untuk menyara kehidupan isteri dan anak - anak."


Tiba - tiba sahaja aku terfikir ... adakah aku pernah 'kurang ajar dengan tuhan?'

Monday, June 22, 2009

SELAMAT TINGGAL SAYANG


Masih aku ingat ...


22 hb Oktober 1988, buat pertama kali, aku berkelana, berhijrah dari kampong ku di Taiping untuk mendaftarkan nama sebagai pekerja Keretapi Tanah Melayu, dengan nama jawatan - Pembantu Trafik Rendah. Dengan tangga gaji pertama sebanyak RM350.00.


Kini, setelah lebih dari 20 tahun aku bekerja dan mencurahkan bakti di pelbagai sektor. Akhirnya aku terpaksa membuat keputusan yang paling menyedihkan dalam hidupku.


Aku terima ini sebagai ketentuan dari Illahi.


Kalau sewaktu aku 'keluar' dari Taiping - 20 tahun yang lalu, ibu ku memberikan wang poket sebanyak RM30. Maka, hari ini, isteri aku memberikan wang untuk membeli tiket keretapi dan wang belanja dalam perjalanan sebanyak RM30.


Kalau dahulu, sewaktu aku datang berkelana di Pelabuhan Klang, aku menaiki keretapi. Hari ini, aku akan pulang semula ke kampong aku juga dengan keretapi. Begitu nostalgia tetapi benar - benar meruntun jiwa.


Aku akan pulang ke Taiping dengan meninggalkan isteri dan anak - anak aku. Dengan nada penuh kasih sayang, aku memberikan semangat kepada isteri aku untuk menguruskan rumahtangga sepenuhnya. Dan kesemua urusan persekolahan dan apa sahaja akan diuruskan oleh isteri aku.


Aku tahu, isteri aku juga tidak akan berdaya menghadapi kesemua itu. Tetapi, aku memberikan kata perangsang.


"Bila Abang tidak ada, kena kuatkan semangat, anggaplah seperti Abang sudah tiada lagi diatas muka bumi ini ... maka sayang kena buat semuanya sendiri!"


Beberapa malam ini, sejujurnya ... air mata aku terus mengalir tanpa henti. Aku tahu ini semua adalah kehendakNYA. Aku redha. Aku pasrah.


"Ya Allah ... aku hanya mengharapkan REDHA MU."





Wednesday, June 17, 2009

Balik Kampong. Tanam Jagung.


Aku tidak tahu, siapakah manusia di Malaysia ini yang boleh hidup TANPA WANG.


Dahulu YA, aku pandai menasihati para sahabat supaya banyakkan bersabar apabila mereka mengeluh tidak cukup wang.


Mereka bukannya tidak ada wang langsung. Ada, cuma tidak cukup. Tetapi, diri aku dan keluarga. HAKIKAT kami begitu perit kerana aku langsung tidak punya wang. Bukannya sehari, tetapi sudah 15 bulan.


Dan kini, aku sudah pelajari satu lagi ilmu yang begitu penting dalam hidup ini. Umat Islam tidak dapat mengharapkan bantuan dari Lembaga Zakat atau badan yang menguruskan zakat. Kerana beberapa faktor yang remeh temeh.


Kini, akibat dari keperitan hidup yang sudah tidak tertanggung dan diluar kawalan. Aku terpaksa mengambil keputusan drastik. Iaitu, pulang ke kampong halaman aku.


Cumanya, aku terfikir, kepada siapa harus aku memohon sumbangan kewangan ?


Dalam fikiran aku, cuma ada dua tempat sahaja dimana aku boleh meminta tolong dalam keadaan terdesak. Itupun sebab mereka adalah sahabat aku. Dan mereka pernah berjanji untuk membantu yang termampu.


Pertamanya ialah kawan aku yang menjadi taukeh atau Along. Dia pernah berjanji, akan membantu dan tidak akan menggunakan sebarang kekerasan jika aku terlewat bayar. Kedua ialah seorang sahabat yang menjadi paderi di sebuah gereja di Petaling Jaya. Kami sering berjumpa dan beliau sering belanja aku makan dan minum, tetapi di tempat HALAL.


Aku rasa sedih sangat terpaksa membuat keputusan sebegini. Tetapi apakan daya. Aku sudah berusaha dengan pelbagai cara.


Tuesday, June 16, 2009

Perkembangan Maahad TAHFIZ - MATQI


Setelah 5 hari berada dirumah. Akhirnya, pada hari Ahad yang lalu, 14 hb, aku telah menghantar anak sulung aku - Muhammad Fakhrurrazi, pulang ke asrama tahfiz di Seksyen 23, Shah Alam.


Entah kenapa aku rasa sedih bila mengenangkan perpisahan sebegitu. Walaupun hakikatnya, anak aku bukannya pergi jauh. Cuma di Shah Alam sahaja. Dan kalau aku hendak melihatnya setiap hari pun tiada siapa yang melarang.


Dalam perjalanan ke asrama, anak aku berkata "Abah, kita kena kuat ... ujian ini semuanya sebab Allah hendak menguji sekuat mana iman kita."


Aku hanya tersenyum.


Tiba sahaja kami dihadapan asrama. Kelihatan orang ramai berkumpul dibahagian bawah asrama yang terletak ditingkat kedua itu. Dimana bahagian bawahnya telah dijadikan restoran.


Tiba - tiba salah seorang usaz yang mengajar telah memanggil aku "Ya sheikh ... jemput masuk ... ada juadah sikit ... kita buat kenduri pembukaan restoran...silakan."


Selepas ini, mudahlah bagi pelajar - pelajar tahfiz itu untuk makan dan minum.

Friday, June 12, 2009

Bangun, Berjalan, JATUH.

Aku berbaring didalam kawasan solat disebuah surau. Usai bersolat berjemaah. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku baru sahaja pulang dari 'meminta sedekah' dibeberapa buah gerai di kawasan Pandamaran.


Oh, betapa hinanya menjadi peminta sedekah !


Maaf, aku bukan meminta wang. Tetapi aku merayu untuk meminta kerja, andainya ada kerja kosong.


Tetapi, tidak satupun yang memerlukan pekerja. Walaupun aku melihat ramai kaum pendatang yang bekerja dikedai - kedai tersebut. Dan mereka mendapat layanan yang baik dari majikan.


Memang aku pernah terfikir untuk mencuri. Ya. Memang ada terlintas untuk melakukan perbuatan itu. Kerana bagi aku, tidak salah untuk aku melakukannya, atas alasan untuk memberi makan kepada anak - anak aku. Dari segi hukum agama, jika tidak salah ingatan aku, turut 'membenarkannya,' atas alasan darurat.


Fikiran aku memang bersimpang siur. Andainya aku bekerja sebagai buruh kasar, keupayaan aku memang terhad, atas faktor kesihatan. Tetapi bila aku berusaha melakukan bisnes, walaupun secara kecil - kecilan, semuanya terlingkup.


"Ya Allah. Aku bermohon kepada MU, Ya Allah. Ampunilah DOSA ku yang MAHA BESAR ... Ya Allah."


Aku masih buntu. Aku masih gagal. Aku sudah hampir kehabisan tenaga.

Wednesday, June 10, 2009

TENAGA LELAKI

Sakit dan sengal dibadan masih terasa, akibat urutan yang dibuat oleh ayahanda Tuan Haji Norjaie Hadi. Seorang tukang urut tradisional yang telah bertahun - tahun menjalankan tugasnya itu. Aku bertemu dengannya hampir 10 tahun yang lalu. Dan semenjak dari itu, hubungan aku dengannya semakin akrab, hinggalah aku memanggilnya 'abah.'


Namun, walaupun hubungan yang begitu akrab, aku tidak pernah 'menyerahkan' tubuhku kepadanya untuk diurut. Hinggalah disatu ketika bila mana dalam satu majlis ilmu yang diadakan baru - baru ini. Beliau terus bertanyakan kepadaku samada aku sudah sihat atau belum ?


Tuan Haji Norjaie bukanlah seorang bomoh atau pengamal perubatan tradisional. Jadi, itu sebabnya aku tidak bertemu dengannya untuk tujuan rawatan. Tetapi apabila kesihatan aku sudah begitu teruk terganggu hingga jelas dimatanya akan keadaan diri aku. Maka mahu atau tidak, aku terus berbicara panjang dengannya mengenai seluruh proses rawatan yang aku terima selama ini.


Seperti dijanjikan, maka pada 9hb Jun 2009 yang lalu. Aku bersama anak dan isteriku telah berkunjung kerumahnya.


Maka bermulalah proses tarbiyyah dari ayahanda Tuan Haji Norjaie. Seperti kebiasaannya, sebelum bermulanya proses rawatan dan urutan, Tuan Haji Norjaie akan mengadakan sessi bersoal jawab dan bertanya khabar terlebih dahulu.


Usai sessi tersebut. Maka bermulalah saat - saat genting dan cemas bagi seorang pesakit. Dimana aku terpaksa menahan sakit dan geli. Diurut tubuh aku dan 'diperbetulkan' seluruh sistem urat dan darah dalam tubuh seorang lelaki. Barulah aku terasa bagaimana kekuatan sebenar beliau.


Jika dilihat dari sosok tubuh dan usianya yang sudah melewati angka 70. Maka aku tidak menyangka sama sekali 'kekuatan' yang dimiliki olehnya. Begitu terasa sekali urutannya yang begitu mencengkam kedalam tubuh aku.


Hinggalah tiba satu ketika, sewaktu beliau sedang mengurut bahagian belakang pinggang aku, sambil berkata "kena ingat ... alat kita mesti kuat ... biar isteri kita tersenyum ... waktu alat kita dibenam kedalam lubang tu ... kita kena cari kunci yang tepat ... barulah isteri puas... tak semestinya lama ... yang penting sempurna semua tindakan kita."


Aku terus tertawa. Menahan geli dan menahan tawa.


Hampir satu jam, akhirnya sessi urutan selesai. Aku terasa segar. Begitu terasa bekas urutannya. Namun, aku juga terpaksa bertahan sewaktu memandu pulang. Maklumlah, bekas urutan menyebabkan kulit aku terasa pedih.


Aku dan isteri tertawa didalam kereta. Bila mengenangkan, lain yang difikir lain yang berlaku. Aku bertemu dengan Tuan Haji Norjaie adalah untuk mendapatkan khidmat urutan badan. Tetapi yang terjadi ialah, aku mendapat 'sentuhan' khusus untuk penjagaan dan penambahbaikan kepada tenaga kelelakian aku.


Isteri aku tersenyum dan ada ketikanya mencubit peha aku sewaktu memandu. Maklumlah, kami berbicara tentang aktiviti 'dalam bilik.'

Monday, June 8, 2009

GILA TEMUDUGA

Minggu lepas, aku pergi untuk sessi temuduga yang tidak terduga. Aku rasa macam kartun. Tetapi bukan cerita kartun. Kisah ini memang kes serius. Hinggakan pihak syarikat yang menemuduga aku menggelengkan kepala.


Segala borang telah aku lengkapkan, dilampirkan bersama segala jenis sijil yang aku ada. Cuma, satu sahaja yang aku tidak berikan, iaitu gambar foto berukuran passport.


Bila ditanya oleh pihak syarikat atau lebih tepat lagi oleh bahagian Sumber Manusia. Dimanakah gambar foto ? Maka aku menjawab dengan serius seperti ayat dibawah:


"Saya minta maaf, saya tidak dapat sertakan gambar foto seperti yang pihak tuan kehendaki, buat pengetahuan tuan, saya hanya mempunyai wang sebanyak RM5 sahaja didalam poket, saya benar - benar tiada wang, jadi saya tidak mampu untuk menyediakan gambar foto, sebab kalau saya hendak berikan gambar foto itu, harganya ialah RM10 bagi 4 keping, dan saya tidak boleh mencuci untuk satu keping sahaja, masalahnya, saya tidak mempunyai wang sebanyak itu, saya datang kesinipun dengan mengambil duit syiling dari tabung anak - anak... tetapi seandainya saya dipilih oleh pihak tuan untuk bekerja disini, maka selepas mendapat gaji pertama, saya akan usahakan untuk mengambil gambar dan berikan kepada pihak syarikat."


Aku bercakap lancar dengan semangat yang kuat untuk menahan air mata dari mengalir.


Syarikat - syarikat itu memberikan tempoh selama 3 hari untuk membuat keputusan, samada untuk memanggil aku untuk bekerja atau tidak.


Dan pada hari aku menulis entri ini, sudah masuk hari ke 4.


Aku GAGAL !

Friday, June 5, 2009

MENCEMASKAN !


Malam tadi, sewaktu dalam perjalanan pulang dari Shah Alam. Ketika tiba di persimpangan dihadapan Jaya Jusco, Bukit Raja. Tiba - tiba sahaja penyakit aku kelihatan mula hendak menyerang.


Waktu itu lampu isyarat masih merah. Aku sudah terasa telinga mula berdesing. Nafasku seakan mula menguncup. Aku mengucap panjang. Aku berselawat keatas Nabi Muhammad.


Aku berada berseorangan didalam kereta. Jam menunjukkan pukul 12.15 minit tengah malam. Aku melawan habis - habisan. Aku tenangkan diri aku. Aku mula berasa resah gelisah.


Terasa sakit dibahagian tangan kiri aku. Dada ku terasa berombak. Aku rasa seperti hendak keluar dari kereta dan menjerit minta pertolongan.


Kereta yang aku pandu sendirian itu, terhoyong - hayang. Aku terasa bagaikan hendak tercabut nyawaku.


YA ALLAH. YA ALLAH. YA ALLAH.


YA ALLAHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHH !!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Tuesday, June 2, 2009

RAWATAN lagi ...


Semalam, sekali lagi aku dan isteri bersama dua orang anak, meredah malam menuju ke sebuah rumah di kawasan Puchong untuk tujuan rawatan.


Kalau ikut hatiku, aku memang sudah tidak mahu lagi untuk pergi berubat. Aku hanya mahu berserah sepenuhnya kepada Allah. Terpulang kepada Allah, samada mahu menghidupkan aku atau mematikan aku.


Sudah habis wang simpanan untuk tujuan berubat. Aku membiarkan beberapa hari sebelum itu untuk isteri aku memikirkan adakah mahu pergi atau tidak. Tetapi isteri aku bertegas, katanya, biarlah dia gunakan wang simpanan nya untuk tujuan rawatan aku.


Sepanjang perjalanan, aku berhenti di sebuah kedai untuk membeli air mineral bagi tujuan yang semua orang sudah tahu. 3 botol besar. Aku berhenti lagi untuk mengisi minyak, keluar lagi RM10.00. Duit TOL lagi.


Bila aku sampai, hanya ada seorang sahaja pesakit yang sedang bercakap dengan tuan rumah. Tidak sampai 10 minit. Aku dipanggil 'menghadap.'


Aku memberikan salam. Dan bila ditanya apa masalah. Aku dan isteri terus menceritakan segala perkara yang terjadi dalam satu tahun ini. Tuan rumah terus membacakan ayat - ayat suci Al Quran dan dihembuskan kedalam botol.


Kali ini memang berlainan. Kesemua proses rawatan pesakit yang aku temui semuanya lelaki. Dan kali ini, orang yang merawat ialah seorang wanita yang sudah berumur dalam lingkungan 50 tahun.


Usai proses itu. Kami pun memohon diri untuk pulang. Dalam perjalanan pulang, barulah aku membuka cerita.


"Sejak waktu Maghrib lagi, perut abang sudah terasa berangin yang agak banyak, terasa hingga ke bahagian dada, jantung terasa berdebar, fikiran bercelaru ... abang terasa mungkin abang akan mati ... tapi abang kuatkan semangat dan banyak beristighfar ... dan semakin lama semakin menjadi ... dalam perjalanan ke rumah orang itu tadi ... Alhamdulillah, sekarang sudah rasa semakin lega."


Aku berharap semoga rawatan itu akan berhasil.


Aku hanya berserah diri kepada Allah.

Saturday, May 30, 2009

Realiti SENIMAN MENANGIS

Aku mendengar lagu Jamal Abdillah yang berjudul Seniman Menangis. Hampir sama dengan corak kehidupan aku sekarang. "Aku berduka ..." itulah diantara lirik didalam lagu tersebut. Tidak adakah sinar kebahagiaan untukku ? Bila aku fikirkan, aku baru diuji Allah dalam tempoh 15 bulan, sedangkan Nabi Ayub diuji oleh Allah selama 900 tahun.


Dalam bulan ini sahaja, iaitu bulan Mei. Aku masih diserang dengan penyakit misteri ini. Aku sudah dapat merasakan bahawa aku hampir sukar untuk berada didalam keadaan manusia yang ramai atau bersesak. Namun, disebabkan oleh permintaan oleh isteriku untuk menemaninya ke salah sebuah pusat membeli - belah untuk membeli beberapa keperluan buat perkahwinan adiknya, maka aku gagahkan juga kaki ini untuk melangkah.


Sewaktu dalam proses membeli itulah, aku berasa teramat letih, nafasku tercungap - cungap, jantung aku mula berdegup tidak sekata, aku bergerak terhoyong - hayang. Aku hampir jatuh, terasa bagaikan hendak pitam. Aku nyatakan kepada isteriku, yang aku hampir tidak dapat mengawal keadaanku. Terasa saluran nafasku seperti mula menguncup.


Aku mengucap dua kalimah syahadah berkali - kali. Aku berselawat keatas Nabi tanpa henti.


Ya Allah, aku memohon ampun atas segala DOSA yang telah telah aku lakukan selama ini.
Ya Allah, aku REDHA dengan ujian dari Engkau, Ya Allah,
Ya Allah, matikanlah aku dalam keadaan aku terus sujud, taat dan beriman kepada MU, Ya Allah.
Ya Allah, sembuhkanlah penyakitku ini, ampunkanlah aku Ya Allah, aku sudah tidak berdaya.


Hanya itulah ungkapan yang mampu aku bisikkan kepada Rabb. Tuhan seru sekalian alam.


Aku terus bersandar pada dinding. Isteri aku memegang tubuh aku. Aku berkata, andainya urusan telah selesai, ayuhlah kita beredar dari sini.


Selesai urusan pembayaran, aku dan isteri ku terus melangkah keluar dari pusat membeli belah itu. Lantas kami melangkah ke arah parkir motor. Tiba sahaja di kawasan parkir motor, aku terus sahaja duduk di atas motorsikal buruk aku. Mata berpinar. Pemandangan sekeliling terasa seperti berasap dan kabur.


# Gambar foto. Bahagian belakang rumahku. Jiran aku sedang membakar sampah secara terbuka. Menghasilkan asap yang tebal. Kehidupan aku seperti ASAP. Mencemarkan ruang udara. Tidak baik untuk kesihatan. Memedihkan mata. Masa hadapan yang tidak menentu.


"Aku, menangis ..."


Lagu Jamal Abdillah terus bersiponggang didalam gegendang telingaku. Tetapi kali ini, ia adalah realiti !

Monday, May 25, 2009

CER-PAN AKU (1)

CER-PAN AKU.


Sudah 15 bulan aku bertahan. Semenjak aku diberhentikan kerja secara rasmi. Dan semenjak itu sumber pendapatan aku sekeluarga telah terhenti. Sebelum berhenti, kehidupan aku bukannya mewah, hanya cukup makan pakai sahaja. Bila sudah berhenti kerja, memang kehidupan aku sekeluarga begitu perit, sakit, seksa dan begitu azab sekali.


Jangan mengeluh, kena banyak bersabar. Itulah reaksi orang ramai. Aku hanya tersenyum. Namun, yang pasti ramai orang yang hanya mampu bercakap, tanpa mengalami dari sudut realiti.


Kenapa kamu tidak mencari kerja ? Itulah soalan paling utama dan umum. Adakah aku perlu berdiam diri tanpa berusaha langsung ?


Sehingga semalam, secara rasmi, sudah 86 buah tempat aku pergi 'mengemis' untuk 'sesuap nasi.' Ya, sudah 86 buah tempat aku bertanya untuk mendapatkan kerja. Kenapa aku nyatakan - 'secara rasmi?'


Maksudnya, itu adalah tempat dimana aku pergi untuk sessi temuduga mengikut prosedur perundangan. Dimana, aku perlu mengisi borang, perlu menyediakan gambar foto dan sebagainya, hinggalah kepada sessi duduk untuk ditemuduga.


Sessi temuduga itu tidak termasuk, tempat dimana aku mencari kerja ditempat - tempat lain yang tidak memerlukan sessi secara rasmi. Maksud aku, aku bertanya untuk mendapatkan kerja kosong di warung mamak, restoran, bengkel cuci kereta, pasar malam, pasar tani, kedai bunga, kedai runcit, dan pelbagai tempat lagi.


Jangan jadi bodoh. Kenapa engkau berkejar kesana - sini ? Kenapa kamu tidak berniaga ? Ini adalah soalan paling seram sekali untuk aku menjawab. Terlalu panjang kisahnya.


Terpulang samada, ada sesiapa yang hendak percaya atau tidak. Tetapi, aku telah berusaha membuka perniagaan, pasar tani sebanyak 8 kali, pasar malam sebanyak 3 kali. Dan semuanya gagal. Aku langsung tidak mendapat untung, malahan aku terpaksa mengeluarkan wang yang banyak. Semuanya ini telah aku nyatakan didalam Blog Abang Long. Aku nyatakan secara terperinci.


Aku berniaga barangan herba, novel, dadih, ais Malaysia. Semuanya lingkup. Aku tidak tahu dimana salah dan silapnya.


Demi untuk 'sebutir nasi.' Aku jualkan segalanya, suratkhabar lama, botol kaca dan plastik, dan segala macam sampah sarap disekitar kampong. Malangnya, aku hampir terbabit dengan pergaduhan. Baru aku tersedar dari lamunan. Rupanya, mengutip sampah juga ada unsur - unsur gangster. Telah berlaku, dimana satu malam sewaktu aku sedang mengutip sampah, tiba - tiba aku didatangi 4 orang lelaki berbangsa Indonesia, dari bahasanya sudah pasti aku tahu. Malangnya, aku tidak dapat mengecam wajah mereka, kerana waktu itu suasana agak gelap, maklumlah pukul 2 pagi. Aku diberi amaran untuk tidak lagi mengutip sampah dikawasan itu, kerana kawasan itu telah ada 'orang.'


Pada mulanya aku bertegas, tetapi apabila salah seorang dari lelaki itu datang dan mencekak leher aku hingga sukar untuk bernafas, maka aku bersetuju dengan 'arahan' dari mereka. Selepas itu aku tidak berani lagi mengutip sampah walau dimana pun. Biarlah negara aku kotor !


Rasa pelik sungguh, takkanlah selama satu tahun ini, kamu langsung tidak pernah mendapat kerja ?


Soalan ini memerlukan kekuatan dan ketabahan untuk aku menjawab secara jujur. Terus - terang. Aku memang pernah mendapat kerja. Bukan sekali, tetapi dua kali. Dan kedua - dua kerja itu memang mudah dan lumayan sekali pendapatannya.


Pekerjaan pertama, aku ditawarkan kerja sebagai pembersih bilik hotel. Tetapi bukan seperti nama jawatan itu. Aku hanya perlu menjaga bilik - bilik hotel yang ditempah khas sahaja. Dimana, tugas aku ialah untuk mencari pelanggan bagi perkhidmatan seks. Diwaktu itu, selain dari wang gaji. Aku juga menerima tips hingga mencecah ratusan ringgit dalam satu malam. Aku agak tergamam dan terkejut, kerana begitu ramai gadis Melayu yang bekerja sebagai pelayan seks. Hatta, aku pernah bertemu dengan beberapa orang gadis Melayu yang bertudung, dimana mereka datang ke bilik hotel. Lalu aku membawa mereka seperti mana yang diatur. Bila sahaja masuk kedalam bilik hotel, aku perlu membawa minuman bersama.


Sewaktu berada didalam bilik itu. Tanpa segan silu, mereka terus menanggalkan apa yang mereka pakai. Jantung aku berdegup kencang. Aku terus beristighfar, dan keluar dari bilik. Aku menjadi tidak keruan selama beberapa hari. Dan aku seperti hendak pitam dengan apa yang aku lihat.


Aku tidak mahu membawa sumber rezeki dari wang haram. Aku menangis. Aku menangis dan terus menangis.


Aku hanya mampu bertahan untuk satu bulan sahaja. Bila aku fikirkan semasak - masaknya. Aku memegang sejumlah wang ditangan dengan terketar - ketar. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk meletakkan semua wang itu kedalam 'peti besi' sebuah masjid.


Habis tu, apa aku hendak beri makan keluarga aku ? Aku berserah sepenuhnya nyawa mereka kepada Allah.


Kemudian, pada bulan Februari 2009. Aku mendapat kerja sebagai pembantu rumah seorang jutawan di Damansara. Kerjanya mudah, hanya menghantar anak - anak taukeh ke sekolah dan membawa isteri taukeh berjalan - jalan. Itu sahaja.


Tetapi malangnya, aku hanya mampu bertahan untuk selama 2 minggu sahaja. Puncanya mudah sahaja. Setiap hari aku terpaksa bersentuhan dengan anjing yang banyak disekitar rumah taukeh itu. Bukan seekor, tetapi lapan ekor. Dan anjing - anjing itu bersaiz besar. Malah aku pernah memeluk anjing yang paling besar, tanpa perlu membongkokkan badan. Anjing - anjing itu semuanya jinak - jinak belaka. Dan disitulah aku pernah merasa dijilat oleh anjing - anjing itu.


Sewaktu aku nyatakan hasrat untuk berhenti. Taukeh itu memang marah sangat dengan aku. Lalu aku nyatakan bahawa aku tidak mampu dan tidak larat untuk MENYAMAK tubuh aku setiap hari akibat 'digomol' oleh anjing - anjing itu. Akhirnya dengan perasaan berat hati, taukeh itu melepaskan aku pergi.


Hingga hari ini, aku masih terasa was - was, samada tubuh aku telah benar - benar suci.


Abang Long. Bukankah banyak kerja kontrak dinegara kita. Kerja di ladang. Kerja di atas bangunan dan sebagainya ?


Bagi sesiapa yang mengikuti tulisan aku di Blog Abang long pasti sudah tahu dengan jelas, tahap kesihatan aku yang sebenarnya.


Itu antara sebab, aku tidak mahu untuk bekerja di bahagian - bahagian yang berat. Aku memang tidak mampu untuk melakukannya.


Bagaimana tahap kesihatan Abang long sekarang ? Aku hanya mampu menjawab - Alhamdulillah. Walaupun hakikatnya aku BERBOHONG. Tetapi itulah yang disarankan oleh pakar motivasi dan para alim ulamak. Dimana mereka menyatakan bahawa andainya kita menyatakan bahawa kita sihat, walaupun kita sedang sakit, maka InsyaAllah, penyakit itu akan beransur pulih. Dan itulah yang aku lakukan. Walaupun, pada hakikatnya, penyakit yang aku tanggung ini masih belum pulih sepenuhnya.


Buat pengetahuan anda semua. Sudah 15 bulan aku bertahan. Dengan segala kekuatan mental dan fizikal. Namun, aku menyedari bahawa, satu ketika aku juga akan tumbang.


Maka, jika keadaan tidak berubah. Dalam erti kata, aku masih lagi tidak mempunyai sumber pendapatan. Maka, aku telah merancang beberapa langkah drastik. Diantaranya, aku terpaksa memutuskan talian telefon dan talian internet. Sebagai langkah penjimatan serius. Bagi aku, MAKANAN lebih utama.


Maka, dengan ini, aku ingin mengisytiharkan bahawasanya. Jika keadaan berlarutan begini. Maka, blog yang selama ini aku dirikan dan usahakan untuk berkongsi cerita dan dakwah, terpasa dihentikan. Ini membawa maksud. Blog Abang Long akan ditutup, SECARA RASMI pada hari Rabu - 1 hb Julai 2009.



Bersambung ...

Saturday, May 16, 2009

PEMBAWA SIAL


Sepanjang satu tahun. Bermula dari tarikh aku diberhentikan kerja, pada bulan March 2008. Hinggalah pada minggu lepas. Sudah lebih dari 70 tempat aku menghadiri sessi temuduga.


YA. Memang memecahkan rekod. Dan hampir memecahkan kepala aku sendiri.


Walaupun, satu ketika, aku telah nekad untuk tidak lagi menghadiri sebarang temuduga. Sudahlah wang banyak dihabiskan untuk sessi temuduga. Wang untuk gambar foto. Wang untuk pergi dan balik temuduga. Wang untuk fotokopi sijil dan pelbagai lagi. Aku rasa, wang yang dihabiskan untuk temuduga, barangkali sudah lebih dari RM1,000. Dan hasilnya. Aku masih gagal untuk mendapatkan sebarang kerja.


Bila difikirkan. Andainya aku tidak pergi temuduga. Sudah pasti aku tidak akan mendapat sebarang kerja. Tetapi setelah berpuluh kali menghadiri sessi temuduga, dan masih gagal. Aku rasakan jiwa aku sudah HANCUR LULUH.


Aku sudah lakukan pelbagai cara. Dan belum satu pun yang menunjukkan sebarang hasil yang memuaskan. Solat Hajat. Solat Istikharah. Solat Taubat. Berzikir berpuluh malam tanpa henti. Berselawat hingga kering air liur. Berzikir Selawat Syifa'. Bukan aku hendak membanggakan diri dengan amalan itu. Tetapi ...


Bersedekah. Senyum. Dan pelbagai amalan sunat. Aku sendiri sudah tidak tahu apa lagi yang hendak aku buat.


Cuma, belum tergerak kaki ini untuk pergi ke Pulau Besar, Melaka. Bukankah itu juga salah satu usaha ?


Bila aku hendak bekerja di pusat hiburan. Di kelab malam. Ramai sahabat yang melarang. Pandai pula mereka memberikan nasihat. Jangan bawa rezeki HARAM kedalam rumah. Tetapi, mereka langsung tidak menunjukkan sebarang usaha untuk membantu aku. Memang aku terlalu kecewa !


Tetapi satu perkara yang aku dapat rasakan dihati sanubari ku ini. Berkemungkinan tuhan masih belum mengampunkan DOSA aku yang lalu. Hinggakan PINTU REZEKI pun masih belum dibuka.


Sepatah kata dari sahabat aku, dimana beliau pernah berkata kepada aku "Boleh jadi engkau ini pembawa SIAL."


SIAL. Apa kata dan tafsiran Dewan Bahasa dan Pustaka ?


1. tidak beruntung (selalu gagal dlm mendapat sesuatu dll), tidak bernasib baik (se­lalu ditimpa kemalangan, selalu susah, dll), celaka, malang: kami juga mengisahkan tuah ~ masa hadapan anak-anak kami; ~ benar nasib mereka; ~ dangkalan sial benar; 2. (yg) mendatangkan kecelakaan (kemalang­an dll), (yg) tidak mendatangkan keuntung­an (kebahagiaan dll): menurut kepercayaan Inggeris, nombor 13 ialah suatu angka yg ~; besok mari ikut aku, kita tinggalkan tempat ~ ini; 3. jahanam, si celaka (kata maki­an): jangan sebut-sebut lagi nama perem­puan ~ itu! ~ bercampur malang prb kehidupan orang yg sangat sengsara (segala yg dihajati tidak diperoleh); bagai menjenguk jerat ~ prb pergi ke sesuatu tempat tetapi utk sebentar sahaja, orang yg gemar berjalan-jalan; menyialkan mendatangkan sial: tidak cukup engkau dgn sial dirikau, kausialkan orang lain pula; sialan 1. orang yg (mendatangkan) sial; 2. Id jahanam, celaka (kata makian): ~ lu! kesialan perihal sial, kecelakaan: tetapi Bidin berasa takut kalau-kalau ~ wang loteri itu akan membuatkan kapal yg ditum­panginya jadi kacau.

Friday, May 8, 2009

Demam Selesema.


Hari ini aku masih demam. Tubuh terasa lemah, lesu tidak bermaya. Hingus keluar dari hidung, masih cair. Kepala terasa berat, pening.


Terasa sengal seluruh tubuh. Hari ini, aku tidak mampu untuk pergi bersolat Juma'at di Masjid.


Ya Allah. Ampunilah dosaku. Aku tidak berdaya Ya Allah.


Hingga sekarang, tekak masih terasa perit. Dan sesekali tersa pedih di dada.


Ya Allah. Ini adalah ujian dari Engkau. Aku redha. Aku terima, Ya Allah.

Thursday, May 7, 2009

Demam Selsema


Hari ini - 7hb. Mei 2009. Adalah hari dalam sejarah. Aku membawa keluarga ke Klinik Daerah Pandamaran untuk mendapatkan rawatan.


Semua demam.


Aku, isteri, anak ke tiga, ke empat dan kelima. Demam selesema. Sejak pagi, aku rasakan tubuh aku seakan bergoncang. Dan rasa terhoyong - hayang bila bergerak, apatah lagi bila berjalan.


Aku berulang - alik ke sekolah anak - anak aku. Bila tengahari, sebaik sahaja isteri aku pulang dari mengajar. Aku terus menyatakan bahawa aku tidak sedap badan. Dan setelah berbincang, kami semua pergi ke klinik kerajaan yang berhampiran.


Sewaktu pemeriksaan itu. Anak ke lima, iaitu Adam Muhammad Behjad, berusia 4 tahun, terpaksa diambil darahnya. Memandangkan beliau sudah demam selama 3 hari, dan demamnya pasang surut.


Bila proses pengambilan darah itu baru hendak bermula, Adam masih mampu tersenyum. Maklumlah, selama ini, beliau tidak pernah disuntik untuk diambil sampel darah. Tetapi, apabila jarum suntikan sudah terbenam kedalm kulit. Beliau terus menangis dan menangis, menahan kesakitan.


Usai sampel darah dihantar ke bahagian pemeriksaan darah, dan setelah keputusannya diperolehi. Kami masuk semula kedalam bilik Doktor yang bertugas. Dan kami dimaklumkan demam itu adalah jangkitan kuman, dan kami dinasihatkan untuk datang semula esok untuk diambil darahnya sekali lagi, seandainya beliau masih demam. Jika tidak, tidak perlu datang ke klinik.


Selesai segala urusan. Kami terus pulang ke rumah. Tiba sahaja di rumah. Badan aku sudah terasa lemah longlai. Air telah keluar dari hidung, menandakan selesema aku semakin teruk.


Aku terus menelan ubatan yang diberikan. Setelah beberapa minit kemudian. Aku terasa khayal dek kerana ubat selesema yang dimakan.

Wednesday, May 6, 2009

Makanan orang kaya.


Sudah ramai kenalan, sahabat dan penulis blog yang terkejut, tergamam dan seperti tidak percaya, bila aku menceritakan apa yang aku boleh makan dan apa yang aku tidak boleh makan. Akibat sakit yang menimpa diri aku.


Aku bukan hendak mengada - adakan cerita, apatah lagi mereka - reka cerita semata - mata untuk menagih simpati. Tidak ada gunanya. Selama satu tahun aku sakit, menderita dan menanggung beban ini. Hanya isteri aku yang selama ini menumpahkan kasih, begitu memahami hakikat yang berlaku.


Sarapan pagi. Aku hanya minum susu (tepung) dengan air panas tanpa gula. Beberapa keping biskut dan emping coklat (cocoa crunch). Ada sahabat yang berkata "Eh, itu makanan orang kaya!"


Terpulang kepada persepsi masing - masing. Harga biskut Hup Seng adalah RM3.49. Dan aku menghabiskan sebungkus biskut dalam tempoh 2 minggu. Sebungkus emping coklat (cocoa crunch), berharga RM5.69. Dan boleh bertahan selama 4 hari. Satu peket besar susu Fernleaf, berharga RM41.99. Diminum satu keluarga dan bertahan selama 1 bulan.


Makan malam juga serupa (sama) dengan apa yang aku ambil sewaktu bersarapan.


Setelah dihitung secara halus. Ini bermakna, perbelanjaan untuk aku bersarapan dan makan malam adalah yang termurah. Dan inilah makanan yang aku makan selama 8 bulan. Setelah aku tidak mampu mengambil banyak jenis makanan, khususnya yang berminyak.


Makan tengahari pula, aku hanya makan nasi kosong, ikan rebus dan sayur sup. Dan inilah amalan selama 8 bulan.


Jangan kata aku tiada selera untuk makan. Malahan aku memang bernafsu apabila melihat pelbagai jenis makanan, khususnya yang dijual diluar. Tetapi apakan daya. Aku tidak mahu penyakit itu mengganggu diri aku.

Tuesday, May 5, 2009

SENARIO MENCEMASKAN !


Semalam, sewaktu azan Maghrib sedang berkumandang. Aku terus memecut ke Pandamaran, untuk bertemu dengan seorang adik yang juga seorang penulis blog.


Setibanya aku di tempat pertemuan itu. Aku terus serahkan barang berharga kepada beliau. Dan terus berbincang, mengenai beberapa perkara penting dan mendesak.


Usai perbincangan dari hati ke hati. Dan setelah minum air kosong. Adik aku hanya tersenyum, kerana itu sahaja yang aku pinta sebagai pembasah tekak.


Aku terus bergegas ke sebuah Masjid. Untuk menunaikan solat dan untuk melunaskan hutang aku seorang seorang HAMBA Allah.


Selesai solat bersendirian. Aku terus bertemu dengan beberapa orang sahabat lagi. Aku lakukan perkara yang sama. Aku hanya memesan air kosong. Kerana itu sahaja minuman yang paling sesuai dengan keadaan diri aku. Dan kami terus sahaja berbincang dari hati ke hati tentang beberapa perkara.


Wahai sahabat sekalian. Aku sudah tidak mampu lagi untuk terus bertahan dengan keadaan ini. Aku cuba bersabar. Aku cuba mengawal keadaan dengan sebaik mungkin. Aku melakukan pelbagai perkara. Aku berusaha dalam setiap ruang yang boleh.


Semuanya TIDAK BERHASIL.


Wang simpanan KECEMASAN juga sudah habis. Hanya tinggal wang modal yang HARAM untuk aku usik. Kerana wang itulah pelaburan jangka panjang untuk aku memulakan bisnes kecil - kecilan.


Dan aku masih mencari modal.


Usah ditanya, kenapa tidak pergi buat pinjaman MARA ? TEKUN ? Bank perdagangan ? Bank Islam ? LZS ? dan sebagainya ?


Maaf, soalan itu sudah tidak tertanggung untuk aku menjawabnya. Dan bagi para sahabat yang telah bertentang mata dan melihat dokumen yang aku kemukakan, sudah dapat melihat senario masalah yang aku hadapi.


Aku benar - benar sudah kecewa. Dan aku hanya berserah diri kepada Allah.


HANYA SATU perkara sahaja yang aku bincangkan dengan adik aku dan sahabat lain semalam.


Andainya ada peluang kerja. Tolonglah maklumkan kepada aku. Hatta, kalau meraka hanya sanggup untuk membayar RM500 pun aku sanggup terima.


Faktornya mudah:

1 - Ayah aku sakit tenat.
2 - Ibu aku menderita sakit.
3 - Bil - bil di rumah telah menjangkau RM1,000
4 - Peti sejuk rosak.
5 - Talian telefon akan terpotong pada bila - bila masa.
6 - Aku sering berulang - alik ke Taiping untuk menziarah ayah dan ibu.
7 - Aku terpaksa menerima rawatan perubatan Homeopati, kerana penyakit aku yang kelihatan sesuai menerima ubatan itu.


Aku bukan hendak berlawak. Tetapi, andainya ada yang bertanya "kalau saya hendak bersihkan rumah saya, dan saya upah awak RM50.00, awak boleh terima?"


Ya, aku terima ! Demi nyawa ayah, ibu dan anak - anak !

Friday, May 1, 2009

Kata Bonda V Kata Hati


"Kena kuatkan semangat, ini semua kehendak Allah." Ibuku terus memberikan semangat. "Yang penting kita mesti redha... ada hikmah disebalik semua kejadian ini." Ibuku terus menyambung kata - kata, dan aku hanya menjadi pendengar yang setia.


Aku pasti dan aku yakin, sinar harapan tetap ada dipenghujung jalan.


Bukan sekali, bukan dua kali, malahan aku tidak tahu entah sudah berapa kali aku berusaha, namun tetap belum berjaya.


Ujian dan musibah datang bertali arus. Dan ada ketikanya tidak terjangkau dek akal ku yang cetek ini.


Pelbagai usaha dan pelbagai perkara aku lakukan. Aku tidak mahu dan tidak mampu untuk berdiam diri. Aku jual suratkhabar lama, aku jual novel, aku jual barangan herba, aku jual bendera, dan pelbagai lagi.


Aku tidak tahu dimana silapnya. Adakah aku tidak tahu menjual ? Sedangkan kanak - kanak kecil pun boleh menjual. Adakah aku tidak bijak merencanakan strategi untuk menjual ? Sedangkan saban minggu aku menghadiri kursus motivasi dan mendapat tunjuk ajar dari ramai orang yang berpengalaman bagaimana untuk menjadi jurujual yang berjaya.


Dalam satu minggu lepas sebagai contoh, aku hanya berjaya menjual 4 buah novel. Itu sahaja. Bagaimana untuk aku meneruskan kehidupan ?


Ya betul. Aku harus memulakan langkah yang kecil terlebih dahulu. Dan aku terus melangkah, sudah berbatu - batu jauhnya. Namun, hasilnya memang cukup memilukan.


Dalam fikiran aku, memang banyak perkara yang aku mahu lakukan, demi SESUAP NASI buat keluarga aku. Aku fokus dalam melakukan sesuatu. Itu yang aku belajar dari sudut motivasi. Aku tulis dan perincikan apa yang aku perlu lakukan satu demi satu. Dan aku ikut satu demi satu.


Sasaran aku tidak terlalu tinggi. Dan aku yakin mampu mencapainya. Aku fokus supaya aku dapat membuka gerai menjual ais kisar. Bukan banyak modal yang diperlukan. Tetapi sebelum aku dapat membuka gerai itu, aku perlukan modal. Maka, usaha kecil - kecilan itulah yang aku lakukan. Untuk mencukupkan modal.


Namun, Ya Allah. Engkau yang menciptakan aku. Aku redha.


Penyakit yang melanda diri aku tidak sembuh sepenuhnya. Beberapa hari dalam minggu lepas, aku masih dapat merasakan kehadirannya. Bagai hendak habis nyawa, aku rasakan.


Ayah pula sudah terlantar di atas katil di kampong. Ibu pula setiap kali berbicara melalui telefon, kedengaran suaranya terputus - putus akibat lelah dan gout. Aku berulang alik ke kampong di Taiping.


Sudahlah kami sekeluarga hanya mengharapkan elaun (bukan gaji) sebagai guru KAFA. Aku pula sudah satu tahun tidak bekerja. Dan wang elaun yang sememangnya tidak cukup itulah, aku gunakan untuk pulang ke kampong halaman.


Perit. Derita. Azab. Seksa.


Terasa hendak menangis ? Bukan terasa lagi. Tapi memang aku sudah menangis. Dan aku menangis sepuas - puasnya. Bukan di dalam masjid. Tetapi di tepi Sungai Klang, diatas jambatan.


Gerak hati ini merasakan bahawa, andainya aku terjun kedalam Sungai Klang. Pasti selesai masalah. Dan yang pasti, aku tidak tahu berenang. Dan sakitnya kerana lemas pun tidak lama.


Aku tidak tahu mengapa. Tapi kepercayaan aku kepada ulamak sudah semakin terhakis. Mereka hanya tahu 'menghukum.' Mereka hanya tahu mengajar dan berceloteh serta membuat lawak dalam kuliah.


Bila aku menceritakan kisah aku. Mereka berkata "Anta kena banyak bersabar ya sheikh."


Lalu aku berikan satu soalan "Andainya saya letakkan Ustaz di tengah - tengah Kota New York, tanpa SATU SEN pun dalam poket, dan Ustaz sudah 3 hari tidak makan, dan selama itulah, kemana sahaja ustaz pergi untuk mendapatkan kerja setelah berusaha dan temuduga, ustaz masih gagal untuk mendapat sebarang kerja ... apa yang ustaz akan lakukan ... jawab secara jujur."


Ya. Ustaz tidak mampu memberikan jawapan. Mereka terdiam seribu bahasa.


Adakah aku tidak mahu mencuba untuk mencari kerja tetap. Ya Allah, Ya Rabbi. Kalaulah betul ada. Memang aku tidak akan melepaskan peluang. Memang aku perlukan apa sahaja kerja, tapi biarlah mengikut kemampuan aku, takkan aku hendak kerja sebagai buruh binaan. Memang aku tidak mampu.


Ah, terlalu banyak pula aku berceloteh. Tapi, biarlah aku menulis, sekurang - kurangnya aku rasa puas.


Bila malam, sewaktu anak - anak aku sedang nyenyak tidur. Aku memerhatikan wajah - wajah mereka. Terasa sayu dan hiba. Apa nasib dan masa hadapan mereka.

Wednesday, April 8, 2009

Kelapa Muda Remaja

"Inilah R&D."


"Kita cuba, kita menguji dan terus membuat kajian, hinggalah kita mendapat keputusan atau hasil yang terbaik." Itulah kata perangsang dari aku untuk isteri dan anak - anakku.


Yang menariknya, disekitar kampong aku, terdapat 6 buah gerai menjual kelapa muda. Tetapi, semuanya tidak dapat menunjukkan yang paling tepat mengikut kemahuan aku.


Aku katakan bahawa, aku tidak mahu yang terlalu muda, kerana isinya belum banyak. Bukan pula yang sudah tua, hingga isinya tebal dan keras dan boleh dibuat santan. Aku perlukan yang 'remaja'.


Rasanya, dari 10 buji yang dikupas, cuma sebiji yang yang menepati citarasa atau 'piawaian' yang ditetapkan. Hingga ke satu peringkat, tuan punya gerai mencadangkan supaya aku sahaja yang memilih atau menentukan pilihan aku.


Dalam hal ini, sejak dari awal, aku sememangnya menyerah kalah. Kerana aku memang bukan pakar dalam urusan ini.


Yang paling menariknya. Tuan punya gerai memberikan parang untuk aku kupas sendiri kelapa. Aku tersenyum dengan gurauan itu.


Hingga penamatnya. Aku membelek kelapa itu satu persatu dan berbual dengan tuan punya gerai. Dan kami 'meneka dalam kesamaran' semua kelapa yang ada.


Berpeluh juga untuk menentukan kelapa yang masih 'remaja'.

Wednesday, April 1, 2009

LANGKAH SUMBANG


Aku terus buat. Belum berjaya. Aku tukar kaedah. Belum berjaya. Aku tukar rentak. Belum berjaya.


Hingga satu ketika. Anak aku berkata "Abah, mat dah tak larat nak minum dah."


"Tak sedap ke?" Aku bertanya. Si anak menjawab "bukan tak sedap, tapi dah kenyang, banyak sangat minum."


"Hahahaha ......" Aku dan isteri terus ketawa. Mengenangkan anak - anak aku akhirnya tewas dalam percubaan untuk mendapatkan rasa terbaik bagi minuman jus yang kami sedang usahakan.


Sudah 3 hari berturut - turut kami berusaha. Sudah bergelen air dan segala macam bahan mentah yang digunakan. Yang penting, kami mahukan hasil yang terbaik dan rasa yang paling sedap.


Langkah pertama ialah mendapatkan keputusan atau hasil produk terlebih dahulu. Kemudian langkah seterusnya ialah untuk mendapatkan ketetapan harga yang paling baik dan munasabah.


Langkah seterusnya ialah untuk mencari tapak. Dan seterusnya ialah mengatur kembali kehidupan yang terganggu selama satu tahun. Dan seterusnya ...


Bak kata seorang Pengasas AMWAY - "Jika anda boleh berlari, kenapa anda harus berjalan?"

Saturday, March 28, 2009

Fikiran Global


Adik aku benar - benar bertindak sebagai seorang muslim yang memahami kesusahan seorang saudara dalam Islam.


Beliau memanggil aku untuk bertemu dan berjanji untuk membantu. Aku menaruh seribu harapan. Selepas belanja makan. Kami bersolat Maghrib.


Kemudian diikuti perbincangan tentang bisnes disebuah restoran. Sambil minum santai, beliau telah bertanya beberapa soalan. Dan ada antara soalan itu, sebenarnya aku sendiri tidak terfikir yang itu adalah strategi bisnes.


Seperti biasa, dan dimana sahaja. Memang sukar untuk orang yang mengenali aku untuk melihat aku berada didalam keadaan serius. Aku lebih suka berada didalam keadaan santai, walaupun berbincang sesuatu yang serius.


Kami berbincang pelbagai perkara, namun topik dan isunya kami fokus tentang bisnes yang hendak diceburi.


Bagi aku perbincangan itu benar - benar seperti 'ice breaker', dan memang aku hendak menjadi seperti itu. Perbincangan selesai jam 10 malam. Namun aku puas hati. Aku katakan pada adik aku "inilah yang abang mahu, kita bincang dan membuka fikiran."


Semakin jelas hala tuju bisnes aku. Alhamdulillah.

Monday, March 23, 2009

SERAH PADA ALLAH

"Eh, engkau tidak rasa malukah, apabila meminta wang dari orang" Sinis sahaja soalan dari sahabat aku.


Aku hanya tersenyum pahit, dengan mata terkebil - kebil.


Yang pasti aku tidak akan menjawab soalan itu.


Biarlah, sahabat aku itu mungkin tidak memahami seluruh senario kehidupan aku. Maklumlah, biarlah, apa yang aku tahu beliau tidak pernah merasa susah.


Namun aku tetap akan bersahabat dengannya.


Segala perancangan untuk membuka bisnes ini telah diatur dengan rapi. Jadi, sekarang ini, aku hanya perlu berusaha untuk mengumpulkan wang sahaja.


Aku terharu apabila mendengar anak ku berdoa "Ya Allah, tolonglah keluarga aku, tolonglah abah aku, tolong jangan lupakan keluarga aku."


TERIMA KASIH ANAKKU.

Friday, March 20, 2009

PINJAMAN BISNES

RM10


Kalau diikutkan akal yang singkat, memang tidak cukup. Tetapi yang penting ialah kesabaran mestilah berada ditahap maksimum.


Untuk mengumpulkan wang hingga mencecah jutaan ringgit juga bukan mudah tetapi tidak mustahil.


Aku nekad. Aku buang perasaan MALU. Setelah aku memikirkan bahawa, selagi aku tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dari segi hukum agama, dan tidak melanggar undang - undang negara. Maka aku akan teruskan dengan idea ini.


Bukan mudah untuk meminjam dari sesiapapun. Apatah lagi dengan orang yang tidak pernah ditemui di alam maya, atau di alam nyata. Hatta, jika aku merayu untuk meminjam duit sebanyak 10 sen pun belum tentu aku akan berjaya.


Hanyasanya, aku meminjam dengan perjanjian dengan nama Allah. Biarlah Allah dan Malaikat yang menjadi saksi utama. Tidak ada surat hitam dan putih. Hanya berbekalkan kepada kejujuran dan niat kerana Allah bagi diri sendiri. Untuk berusaha sedaya mampu.


Dan bagi peminjam. Hanya niat membantu kerana Allah. Memberikan pinjaman dengan ikhlas. Dan sekadar kemampuan peminjam. Aku tidak sekali - kali mahu memaksa.


Aku tidak tahu berapa lama aku akan mendapat wang yang mencukupi untuk memulakan perniagaan ini. Modal asas sebanyak RM3,500 diperlukan.


Aku sudah mengirimkan emel memohon simpati kepada puluhan blogawan. Dan yang menjawab kembali, setakat ini baru 4 orang. Alhamdulillah.


Jika dicongak, memang kelihatan mustahil untuk mencapai sasaran itu. Tetapi, aku berserah sepenuhnya urusan itu kepada Allah.


Yang pasti. Aku tidak mahu menjadi PENGEMIS. Aku mahu berusaha untuk memajukan diri sendiri walau dalam bidang apa sekalipun.


Dan yang pasti juga. Hanya Allah sahaja yang MAHA MENGETAHUI tentang keadaan diri aku. Kerana DIA yang mencipta diri aku. Kerana DIA yang menghidupkan aku. Kerana DIA yang menguji iman dan kesabaran aku. Kerana DIA yang MAHA BERKUASA.


Kepada blogawan yang telah menjawab kembali. Walaupun ada yang tidak dapat membantu. Aku dengan ikhlas mengucapkan TERIMA KASIH.

Saturday, March 14, 2009

Pilihan Nama.

'Singkatan nama.'


Anak aku bertanya "Abah, kenapa letak huruf U dan K?"


Dengan senyuman dan limpahan kasih sayang aku menjawab "U bermaksud UNTUK dan K bermaksud KELUARGA."


"Oooooooooooooooo ....." Anak - anak aku menjawab dengan penuh riang dan gembira, tanda mereka sudah faham.


Aku bertanya sambil bergurau "Siapa yang hendak ikut abah pergi berniaga?"


"Saya, saya, saya, saya ..." Anak - anak aku memberikan maklumbalas yang begitu baik. Alhamdulillah, tanda semangat itu sebenarnya turut menaikkan semangat aku untuk berusaha demi keluarga dan kerana Allah.


Entri Pertama ~ CUBALAH !

SYUKUR ALHAMDULILLAH.


Perjanjian sedang dijalankan diperingkat akhir. Setelah berbulan - bulan lamanya kami berusaha. Dan InsyaAllah, hanya menunggu kelulusan pinjaman dengan syarikat kewangan.


Dan besarlah harapan kami. Semoga bisnes yang dijalankan ini mendapat keredhaan Allah. Mendapat sambutan oleh masyarakat. Dan mendapat kepercayaan oleh pelanggan.


Kami berjanji untuk memberikan yang terbaik. Biarlah anda sebagai pembeli mendapat produk yang bernilai dengan wang anda.


Doakan semoga usaha kami mencapai kejayaan.