Friday, June 12, 2009

Bangun, Berjalan, JATUH.

Aku berbaring didalam kawasan solat disebuah surau. Usai bersolat berjemaah. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku baru sahaja pulang dari 'meminta sedekah' dibeberapa buah gerai di kawasan Pandamaran.


Oh, betapa hinanya menjadi peminta sedekah !


Maaf, aku bukan meminta wang. Tetapi aku merayu untuk meminta kerja, andainya ada kerja kosong.


Tetapi, tidak satupun yang memerlukan pekerja. Walaupun aku melihat ramai kaum pendatang yang bekerja dikedai - kedai tersebut. Dan mereka mendapat layanan yang baik dari majikan.


Memang aku pernah terfikir untuk mencuri. Ya. Memang ada terlintas untuk melakukan perbuatan itu. Kerana bagi aku, tidak salah untuk aku melakukannya, atas alasan untuk memberi makan kepada anak - anak aku. Dari segi hukum agama, jika tidak salah ingatan aku, turut 'membenarkannya,' atas alasan darurat.


Fikiran aku memang bersimpang siur. Andainya aku bekerja sebagai buruh kasar, keupayaan aku memang terhad, atas faktor kesihatan. Tetapi bila aku berusaha melakukan bisnes, walaupun secara kecil - kecilan, semuanya terlingkup.


"Ya Allah. Aku bermohon kepada MU, Ya Allah. Ampunilah DOSA ku yang MAHA BESAR ... Ya Allah."


Aku masih buntu. Aku masih gagal. Aku sudah hampir kehabisan tenaga.