Monday, June 22, 2009

SELAMAT TINGGAL SAYANG


Masih aku ingat ...


22 hb Oktober 1988, buat pertama kali, aku berkelana, berhijrah dari kampong ku di Taiping untuk mendaftarkan nama sebagai pekerja Keretapi Tanah Melayu, dengan nama jawatan - Pembantu Trafik Rendah. Dengan tangga gaji pertama sebanyak RM350.00.


Kini, setelah lebih dari 20 tahun aku bekerja dan mencurahkan bakti di pelbagai sektor. Akhirnya aku terpaksa membuat keputusan yang paling menyedihkan dalam hidupku.


Aku terima ini sebagai ketentuan dari Illahi.


Kalau sewaktu aku 'keluar' dari Taiping - 20 tahun yang lalu, ibu ku memberikan wang poket sebanyak RM30. Maka, hari ini, isteri aku memberikan wang untuk membeli tiket keretapi dan wang belanja dalam perjalanan sebanyak RM30.


Kalau dahulu, sewaktu aku datang berkelana di Pelabuhan Klang, aku menaiki keretapi. Hari ini, aku akan pulang semula ke kampong aku juga dengan keretapi. Begitu nostalgia tetapi benar - benar meruntun jiwa.


Aku akan pulang ke Taiping dengan meninggalkan isteri dan anak - anak aku. Dengan nada penuh kasih sayang, aku memberikan semangat kepada isteri aku untuk menguruskan rumahtangga sepenuhnya. Dan kesemua urusan persekolahan dan apa sahaja akan diuruskan oleh isteri aku.


Aku tahu, isteri aku juga tidak akan berdaya menghadapi kesemua itu. Tetapi, aku memberikan kata perangsang.


"Bila Abang tidak ada, kena kuatkan semangat, anggaplah seperti Abang sudah tiada lagi diatas muka bumi ini ... maka sayang kena buat semuanya sendiri!"


Beberapa malam ini, sejujurnya ... air mata aku terus mengalir tanpa henti. Aku tahu ini semua adalah kehendakNYA. Aku redha. Aku pasrah.


"Ya Allah ... aku hanya mengharapkan REDHA MU."