Tuesday, June 16, 2009

Perkembangan Maahad TAHFIZ - MATQI


Setelah 5 hari berada dirumah. Akhirnya, pada hari Ahad yang lalu, 14 hb, aku telah menghantar anak sulung aku - Muhammad Fakhrurrazi, pulang ke asrama tahfiz di Seksyen 23, Shah Alam.


Entah kenapa aku rasa sedih bila mengenangkan perpisahan sebegitu. Walaupun hakikatnya, anak aku bukannya pergi jauh. Cuma di Shah Alam sahaja. Dan kalau aku hendak melihatnya setiap hari pun tiada siapa yang melarang.


Dalam perjalanan ke asrama, anak aku berkata "Abah, kita kena kuat ... ujian ini semuanya sebab Allah hendak menguji sekuat mana iman kita."


Aku hanya tersenyum.


Tiba sahaja kami dihadapan asrama. Kelihatan orang ramai berkumpul dibahagian bawah asrama yang terletak ditingkat kedua itu. Dimana bahagian bawahnya telah dijadikan restoran.


Tiba - tiba salah seorang usaz yang mengajar telah memanggil aku "Ya sheikh ... jemput masuk ... ada juadah sikit ... kita buat kenduri pembukaan restoran...silakan."


Selepas ini, mudahlah bagi pelajar - pelajar tahfiz itu untuk makan dan minum.