Tuesday, April 13, 2010

Kuatkan langkah !


Setelah berbulan - bulan lamanya, atau rasanya sudah hampir 6 bulan aku tidak bersuara dan meluahkan perasaan disini. Tiba - tiba aku terasa rindu yang teramat sangat untuk merakamkan kata - kata diruangan ini.


Semuanya berpunca dari nasihat seorang rakan. Supaya apa sahaja yang berlaku dirakamkan untuk menjadi satu bahan renungan, samada oleh diri sendiri mahupun oleh orang ramai.


Ya. Setelah hampir 3 tahun aku menderita. Aku terasa seperti hilang segala - galanya yang aku usahakan selama ini. Kini, aku mendapat satu cahaya baru untuk memulakan kembali sesuatu yang telah tiada.


Beberapa hari yang lalu. Aku mendapat panggilan dari seorang saudara aku dari Singapura. Bertanyakan samada hendak mempelajari cara - cara untuk membuat pelbagai makanan yang terkenal di Singapura.


Aku katakan aku memang berminat. Minat sangat - sangat. Kemudian aku terdiam tanpa berkata sepatah pun. Namun, saudara aku itu dengan pantas menyatakan bahawa beliau tahu tentang keadaan aku. Dan, katanya tidak perlu bimbang. Dia akan uruskan segalanya. Alhamdulillah.


Kini, aku hanya mahu berfikir bagaimana untuk melakukan langkah seterusnya.

Tuesday, August 11, 2009

Lurus atau berliku ?


Sekarang bukan zaman bermenung ...


Itulah lirik lagu yang dinyanyikan semula oleh Raja Pop Jamal Abdillah.


Tidak ada masa untuk bermenung. Tetapi aku akan tetap memerlukan masa untuk merancang dan merancang dan terus merancang.


Buka mudah untuk merancang dalam keadaan 'buta' dalam serba serbi. Tetapi, daripada aku mendiamkan diri, lebih baik aku terus merancang dan mempunyai wawasan jelas untuk hidup aku dan keluarga.


Aku hampir tertawa yang tidak dapat dibendung. Bila satu soalan mudah dilontarkan oleh isteri aku. Tetapi aku sendiri tergagap untuk menjawabnya.


"Kenapa Abang hendak tampal iklan berbayar didalam bangunan ? Bukankah banyak pokok ... tampal sahaja di pokok atau di dinding perhentian bas ... kita bukannya ada modal."


Aku hanya merenung tajam mata isteriku. Tetapi mulut aku terkunci. Apa yang dikatakan oleh isteri aku memang ada kebenarannya.


Emel sudah ... jejak bertapak di blog sudah ... bercakap dari mulut ke mulut pun sudah ... jadi apa lagi yang aku perlu lakukan untuk mengiklankan perkhidmatan atau bisnes aku ?


Hari ini, aku mencari kedai kereta yang boleh memasang peralatan untuk meletakkan tangga diatas kereta Kancil aku. Aku ingatkan senang, rupanya hampir seluruh kedai di Klang, Bandar Bukit Tinggi tidak menjualnya. Melainkan ada sebuah gerai tembaga yang boleh melakukannya tetapi dengan harga yang tidak masuk akal.


Aku harus berusaha lagi ... dan lagi ... dan lagi ...


Untuk ke puncak dunia, aku harus melalui jalan, atau laluan atau tangga yang berliku. Jangan pedulikan tentang masalah, tapi fikirkan tentang pengalaman yang bakal diraih sepanjang perjalanan.

Friday, August 7, 2009

Cahaya Baru. Harapan Baru.


Aku merasa sungguh terharu. Bukan kepalang. Terasa seperti rezeki 'turun' dari langit.


Seorang HAMBA ALLAH, telah memasukkan sejumlah wang, kerana Allah, untuk membantu aku membina semula kehidupan yang hampir musnah.


Sungguh aku terasa bagikan bermimpi. Setelah 16 bulan kehidupan aku tidak seperti manusia yang lain. Dan aku cuba untuk bangkit semula. Dan aku terus merayu, merintih kehadrat Allah, akhirnya, dengan kehendakNya juga, aku terasa seperti seseorang telah 'diutuskan' untuk membantu aku, yang serba - serbi kekurangan.


Tidak menunggu lama, sebaik mengambil wang dari mesin, aku terus menghala ke sebuah kedai menjual barangan pertukangan.


TANGGA. Itulah bahan pertama dan paling utama yang aku perlukan dalam usaha untuk memulakan kembali survival aku dalam bisnes ini.


Sebaik TANGGA itu aku bawa balik. Anak - anak aku keriangan. Seolah - olah TANGGA itu bakal membawa keluarga keluar dari himpitan hidup.


YA. Dan INSYAALLAH. TANGGA itulah yang akan menjadi faktor perubahan dalam bisnes aku. Setelah aku memulakan bisnes ini, antara yang menjadi penghalang utama untuk menerima tawaran ialah kekurangan alatan dalam bisnes.


Sekarang bukan lagi masa untuk aku berehat. Sekarang adalah waktu dimana aku perlu berjuang bermati - matian. Setelah lebih dari 100 kali aku berusaha dan menghadiri sessi temuduga, dan tetap gagal, dan setelah usaha aku untuk berniaga tidak menampakkan sebarang usaha kearah kejayaan. Kini, aku perlu bersedia dan terus melawan, anasir - anasir yang boleh menggugat kehidupan aku.


Aku bukan sahaja perlu bersaing dengan peniaga lain. Dan ini merupakan persaingan yang sihat. Aku juga perlu melawan 'anasir jahat' yang berada dalam diri aku. Yang telah berusaha untuk menakluki diri aku selama ini.


Bak kata seorang pemimpin hebat di negara kita "LAWAN TETAP LAWAN!"

Tuesday, August 4, 2009

Kasih Saudara


Semakin banyak yang aku pelajari dari sehari ke sehari. Terlalu banyak.


InsyaAllah, satu ketika nanti, aku akan senaraikan nama - nama insan yang telah membantu aku membina semula kehidupan aku selama ini.


Mereka - mereka inilah yang membantu tanpa mengharapkan balasan. Membantu sedaya upaya. Membantu tanpa bertanya apa yang mereka akan perolehi dimasa hadapan.


Sememangnya mereka - mereka inilah yang begitu dekat dihati aku. Aku terasa begitu sayu dan terlalu gembira. Masih ada lagi manusia yang berhati mulia seperti mereka.


Wahai anak - anakku. Bukan semua saudara mara terdekat akan membantu dan menghulurkan bantuan. Tetapi mereka yang bukan sedarah daging dengan kita yang akan berusaha dengan segala kudrat yang mereka ada untuk membantu Abah diwaktu kita dalam kesusahan.


Oleh itu wahai anak - anakku. Sentiasalah berbuat baik dengan sesiapa sahaja. Ingatlah pesanan orang tua - tua "Bersaudara sewaktu berada."


Kuatkanlah hatimu dan kukuhkanlah semangatmu wahai anak - anakku. Abah menulis berdasarkan pengalaman yang begitu perit dan menyeksakan sekarang.

Monday, July 27, 2009

Membuka Minda.


Hampir semua sahabat, kenalan dan saudara memberikan satu nasihat dan satu perkataan - BERSABAR. Dan setakat itu sahajalah penyelesaiannya. Tidak ada satu usaha untuk memberikan aku harapan dan laluan yang jelas bagaimana untuk aku keluar dari himpitan hidup.


Syukur Alhamdulillah. Masih ada makhluk ciptaan Allah yang mempunyai daya fikir yang berupaya membantu manusia lain.


Seorang sahabat, yang telah berkata kepada aku "Engkau cuba lihat bara yang menyala, kelihatan cantik, panas, tetapi dalam masa yang sama kelihatan menakutkan".


Sahabat aku terus menyambung "Cantik dan panas ... itu adalah kemahuan dan kehendak manusia ... tetapi menakutkan adalah persepsi manusia... maka, kamu cuba ambil satu idea, iaitu membuka bisnes tanpa memerlukan modal ... kalau adapun, terlalu sedikit ... dan kamu jadikan bisnes itu satu yang kelihatan cantik dan panas".


Aku termangu .... "mana ada bisnes tanpa modal?" Aku menyatakan kehairanan.


Lalu dalam ketawa, sahabat aku berkata "Engkau pernah dengar bisnes yang hanya menggunakan modal air liur?"


Akhirnya, tanpa disengajakan, aku tertawa jua ....

Monday, July 20, 2009

Umatku umpama buih dilautan ...


Renungan disaat - saat genting ...


Andainya satu ketika nanti. Anak - anak aku membaca entri disini. Maka, Abah ingin menyatakan dan menceritakan bahawa. Diwaktu Abah menaip entri ini, Abah benar - benar berada didalam keadaan yang amat tertekan.


Abah hanya mampu bertafakur dan beristighfar. Memohon dan memohon dan memohon dan terus memohon kasih sayang dan bantuan serta pertolongan dari Allah.


Segala yang Abah buat, semuanya tidak menjadi. Sudah hampir 100 tempat Abah pergi untuk sessi temuduga, semua masih belum berjaya. Bisnes yang Abah usahakan masih belum kelihatan sebarang tanda untuk dijadikan sumber rezeki.


Disaat ini juga. TIDAK ADA seorang manusia pun yang mengetahui penderitaan hidup Abah memelihara anak - anak. Dan kalau ada yang tahu pun, ramai yang hanya mampu berkata - BERSABARLAH.


Sejujurnya, Abah sudah tidak tahu kemana hendak pergi. Apa yang perlu dilakukan. Buntu sebuntu buntunya.


Teringat Abah akan sebuah hadith nabi yang berbunyi. Diakhir zaman kelak umat aku akan menjadi seperti buih di lautan. Bilangan mereka terlalu ramai, tetapi mereka tidak ada kekuatan langsung.


Wahai anak - anak ku. Seandainya satu ketika kelak, kita berjaya mencapai segala kemewahan dunia. Maka, jangan kita lupa untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan.


Jangan SESEKALI kamu berkata kepada fakir, miskin, orang - orang yang dhaif , dan orang - orang yang meminta bantuan - BERSABARLAH.


Berikan apa sahaja yang kamu ada. Ingat, setiap harta yang kamu berikan kepada orang yang memerlukan, maka Allah akan gantikan dengan yang Maha Hebat.


Hatta, percayalah dengan ajaran Islam. Bahawasanya harta yang kita berikan dan belanjakan untuk jalan Islam. Maka Allah akan gantikan dengan sehebat - hebat gantian dan ganjaran yang tidak terfikir oleh kita.


Wahai anak - anak ku. Janganlah engkau biarkan jiran kita berada didalam kesusahan. Hatta jika mereka berada didalam kelaparan. Maka di akhirat kelak KAMU akan dipertanggungjawabkan !


Wahai anak - anak ku. Abah masih menunggu bantuan dari 'langit.'

Friday, July 17, 2009

RANGKA yang bersemangat...


Umpama sebuah kereta, tanpa enjin, tanpa tayar, tanpa sebarang perlatan didalamnya. Cuma dan semata - mata badan atau rangkanya sahaja.


Begitulah aku disaat ini. Hendak memulakan sesuatu yang baru. Perkara yang tidak pernah aku lakukan. Tanpa asas pengetahuan. Tanpa bantuan dari rakan sekerja. Tanpa modal asas.


Dalam tempoh beberapa minggu ini. Memang fikiran aku terlalu kusut. Aku tidak mahu memikirkan tubuh aku yang lemah akibat penyakit yang aku tanggung. Aku tidak mahu memikirkan sangat nasib badan dan nasib isteri dan anak - anak aku. Bagi aku, semua itu adalah ujian dari Allah.


Andainya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada diri aku atau keluarga aku. Apa lagi yang boleh aku lakukan dalam keadaan aku sebegini. Aku redha dan pasrah sahaja.


Hendak diharapkan kepada umat Islam atau badan Islam atau badan kebajikan Islam. Rasanya usaha aku HAMPA sahaja. Aku memang tidak hairan langsung andainya ramai umat Islam yang telah MURTAD, akibat kurang daya tahan menanggung penderitaan.


InsyaAllah, berbekalkan semangat yang masih bersisa. Aku teruskan juga usaha untuk melakukan sesuatu yang terbaik buat keluarga aku. Aku mahu lakukan sesuatu yang sukar dilakukan oleh seorang manusia.


Aku mahu berjaya, walaupun tanpa - tangan, kaki, mata, telinga.