Monday, May 25, 2009

CER-PAN AKU (1)

CER-PAN AKU.


Sudah 15 bulan aku bertahan. Semenjak aku diberhentikan kerja secara rasmi. Dan semenjak itu sumber pendapatan aku sekeluarga telah terhenti. Sebelum berhenti, kehidupan aku bukannya mewah, hanya cukup makan pakai sahaja. Bila sudah berhenti kerja, memang kehidupan aku sekeluarga begitu perit, sakit, seksa dan begitu azab sekali.


Jangan mengeluh, kena banyak bersabar. Itulah reaksi orang ramai. Aku hanya tersenyum. Namun, yang pasti ramai orang yang hanya mampu bercakap, tanpa mengalami dari sudut realiti.


Kenapa kamu tidak mencari kerja ? Itulah soalan paling utama dan umum. Adakah aku perlu berdiam diri tanpa berusaha langsung ?


Sehingga semalam, secara rasmi, sudah 86 buah tempat aku pergi 'mengemis' untuk 'sesuap nasi.' Ya, sudah 86 buah tempat aku bertanya untuk mendapatkan kerja. Kenapa aku nyatakan - 'secara rasmi?'


Maksudnya, itu adalah tempat dimana aku pergi untuk sessi temuduga mengikut prosedur perundangan. Dimana, aku perlu mengisi borang, perlu menyediakan gambar foto dan sebagainya, hinggalah kepada sessi duduk untuk ditemuduga.


Sessi temuduga itu tidak termasuk, tempat dimana aku mencari kerja ditempat - tempat lain yang tidak memerlukan sessi secara rasmi. Maksud aku, aku bertanya untuk mendapatkan kerja kosong di warung mamak, restoran, bengkel cuci kereta, pasar malam, pasar tani, kedai bunga, kedai runcit, dan pelbagai tempat lagi.


Jangan jadi bodoh. Kenapa engkau berkejar kesana - sini ? Kenapa kamu tidak berniaga ? Ini adalah soalan paling seram sekali untuk aku menjawab. Terlalu panjang kisahnya.


Terpulang samada, ada sesiapa yang hendak percaya atau tidak. Tetapi, aku telah berusaha membuka perniagaan, pasar tani sebanyak 8 kali, pasar malam sebanyak 3 kali. Dan semuanya gagal. Aku langsung tidak mendapat untung, malahan aku terpaksa mengeluarkan wang yang banyak. Semuanya ini telah aku nyatakan didalam Blog Abang Long. Aku nyatakan secara terperinci.


Aku berniaga barangan herba, novel, dadih, ais Malaysia. Semuanya lingkup. Aku tidak tahu dimana salah dan silapnya.


Demi untuk 'sebutir nasi.' Aku jualkan segalanya, suratkhabar lama, botol kaca dan plastik, dan segala macam sampah sarap disekitar kampong. Malangnya, aku hampir terbabit dengan pergaduhan. Baru aku tersedar dari lamunan. Rupanya, mengutip sampah juga ada unsur - unsur gangster. Telah berlaku, dimana satu malam sewaktu aku sedang mengutip sampah, tiba - tiba aku didatangi 4 orang lelaki berbangsa Indonesia, dari bahasanya sudah pasti aku tahu. Malangnya, aku tidak dapat mengecam wajah mereka, kerana waktu itu suasana agak gelap, maklumlah pukul 2 pagi. Aku diberi amaran untuk tidak lagi mengutip sampah dikawasan itu, kerana kawasan itu telah ada 'orang.'


Pada mulanya aku bertegas, tetapi apabila salah seorang dari lelaki itu datang dan mencekak leher aku hingga sukar untuk bernafas, maka aku bersetuju dengan 'arahan' dari mereka. Selepas itu aku tidak berani lagi mengutip sampah walau dimana pun. Biarlah negara aku kotor !


Rasa pelik sungguh, takkanlah selama satu tahun ini, kamu langsung tidak pernah mendapat kerja ?


Soalan ini memerlukan kekuatan dan ketabahan untuk aku menjawab secara jujur. Terus - terang. Aku memang pernah mendapat kerja. Bukan sekali, tetapi dua kali. Dan kedua - dua kerja itu memang mudah dan lumayan sekali pendapatannya.


Pekerjaan pertama, aku ditawarkan kerja sebagai pembersih bilik hotel. Tetapi bukan seperti nama jawatan itu. Aku hanya perlu menjaga bilik - bilik hotel yang ditempah khas sahaja. Dimana, tugas aku ialah untuk mencari pelanggan bagi perkhidmatan seks. Diwaktu itu, selain dari wang gaji. Aku juga menerima tips hingga mencecah ratusan ringgit dalam satu malam. Aku agak tergamam dan terkejut, kerana begitu ramai gadis Melayu yang bekerja sebagai pelayan seks. Hatta, aku pernah bertemu dengan beberapa orang gadis Melayu yang bertudung, dimana mereka datang ke bilik hotel. Lalu aku membawa mereka seperti mana yang diatur. Bila sahaja masuk kedalam bilik hotel, aku perlu membawa minuman bersama.


Sewaktu berada didalam bilik itu. Tanpa segan silu, mereka terus menanggalkan apa yang mereka pakai. Jantung aku berdegup kencang. Aku terus beristighfar, dan keluar dari bilik. Aku menjadi tidak keruan selama beberapa hari. Dan aku seperti hendak pitam dengan apa yang aku lihat.


Aku tidak mahu membawa sumber rezeki dari wang haram. Aku menangis. Aku menangis dan terus menangis.


Aku hanya mampu bertahan untuk satu bulan sahaja. Bila aku fikirkan semasak - masaknya. Aku memegang sejumlah wang ditangan dengan terketar - ketar. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk meletakkan semua wang itu kedalam 'peti besi' sebuah masjid.


Habis tu, apa aku hendak beri makan keluarga aku ? Aku berserah sepenuhnya nyawa mereka kepada Allah.


Kemudian, pada bulan Februari 2009. Aku mendapat kerja sebagai pembantu rumah seorang jutawan di Damansara. Kerjanya mudah, hanya menghantar anak - anak taukeh ke sekolah dan membawa isteri taukeh berjalan - jalan. Itu sahaja.


Tetapi malangnya, aku hanya mampu bertahan untuk selama 2 minggu sahaja. Puncanya mudah sahaja. Setiap hari aku terpaksa bersentuhan dengan anjing yang banyak disekitar rumah taukeh itu. Bukan seekor, tetapi lapan ekor. Dan anjing - anjing itu bersaiz besar. Malah aku pernah memeluk anjing yang paling besar, tanpa perlu membongkokkan badan. Anjing - anjing itu semuanya jinak - jinak belaka. Dan disitulah aku pernah merasa dijilat oleh anjing - anjing itu.


Sewaktu aku nyatakan hasrat untuk berhenti. Taukeh itu memang marah sangat dengan aku. Lalu aku nyatakan bahawa aku tidak mampu dan tidak larat untuk MENYAMAK tubuh aku setiap hari akibat 'digomol' oleh anjing - anjing itu. Akhirnya dengan perasaan berat hati, taukeh itu melepaskan aku pergi.


Hingga hari ini, aku masih terasa was - was, samada tubuh aku telah benar - benar suci.


Abang Long. Bukankah banyak kerja kontrak dinegara kita. Kerja di ladang. Kerja di atas bangunan dan sebagainya ?


Bagi sesiapa yang mengikuti tulisan aku di Blog Abang long pasti sudah tahu dengan jelas, tahap kesihatan aku yang sebenarnya.


Itu antara sebab, aku tidak mahu untuk bekerja di bahagian - bahagian yang berat. Aku memang tidak mampu untuk melakukannya.


Bagaimana tahap kesihatan Abang long sekarang ? Aku hanya mampu menjawab - Alhamdulillah. Walaupun hakikatnya aku BERBOHONG. Tetapi itulah yang disarankan oleh pakar motivasi dan para alim ulamak. Dimana mereka menyatakan bahawa andainya kita menyatakan bahawa kita sihat, walaupun kita sedang sakit, maka InsyaAllah, penyakit itu akan beransur pulih. Dan itulah yang aku lakukan. Walaupun, pada hakikatnya, penyakit yang aku tanggung ini masih belum pulih sepenuhnya.


Buat pengetahuan anda semua. Sudah 15 bulan aku bertahan. Dengan segala kekuatan mental dan fizikal. Namun, aku menyedari bahawa, satu ketika aku juga akan tumbang.


Maka, jika keadaan tidak berubah. Dalam erti kata, aku masih lagi tidak mempunyai sumber pendapatan. Maka, aku telah merancang beberapa langkah drastik. Diantaranya, aku terpaksa memutuskan talian telefon dan talian internet. Sebagai langkah penjimatan serius. Bagi aku, MAKANAN lebih utama.


Maka, dengan ini, aku ingin mengisytiharkan bahawasanya. Jika keadaan berlarutan begini. Maka, blog yang selama ini aku dirikan dan usahakan untuk berkongsi cerita dan dakwah, terpasa dihentikan. Ini membawa maksud. Blog Abang Long akan ditutup, SECARA RASMI pada hari Rabu - 1 hb Julai 2009.



Bersambung ...