Saturday, May 16, 2009

PEMBAWA SIAL


Sepanjang satu tahun. Bermula dari tarikh aku diberhentikan kerja, pada bulan March 2008. Hinggalah pada minggu lepas. Sudah lebih dari 70 tempat aku menghadiri sessi temuduga.


YA. Memang memecahkan rekod. Dan hampir memecahkan kepala aku sendiri.


Walaupun, satu ketika, aku telah nekad untuk tidak lagi menghadiri sebarang temuduga. Sudahlah wang banyak dihabiskan untuk sessi temuduga. Wang untuk gambar foto. Wang untuk pergi dan balik temuduga. Wang untuk fotokopi sijil dan pelbagai lagi. Aku rasa, wang yang dihabiskan untuk temuduga, barangkali sudah lebih dari RM1,000. Dan hasilnya. Aku masih gagal untuk mendapatkan sebarang kerja.


Bila difikirkan. Andainya aku tidak pergi temuduga. Sudah pasti aku tidak akan mendapat sebarang kerja. Tetapi setelah berpuluh kali menghadiri sessi temuduga, dan masih gagal. Aku rasakan jiwa aku sudah HANCUR LULUH.


Aku sudah lakukan pelbagai cara. Dan belum satu pun yang menunjukkan sebarang hasil yang memuaskan. Solat Hajat. Solat Istikharah. Solat Taubat. Berzikir berpuluh malam tanpa henti. Berselawat hingga kering air liur. Berzikir Selawat Syifa'. Bukan aku hendak membanggakan diri dengan amalan itu. Tetapi ...


Bersedekah. Senyum. Dan pelbagai amalan sunat. Aku sendiri sudah tidak tahu apa lagi yang hendak aku buat.


Cuma, belum tergerak kaki ini untuk pergi ke Pulau Besar, Melaka. Bukankah itu juga salah satu usaha ?


Bila aku hendak bekerja di pusat hiburan. Di kelab malam. Ramai sahabat yang melarang. Pandai pula mereka memberikan nasihat. Jangan bawa rezeki HARAM kedalam rumah. Tetapi, mereka langsung tidak menunjukkan sebarang usaha untuk membantu aku. Memang aku terlalu kecewa !


Tetapi satu perkara yang aku dapat rasakan dihati sanubari ku ini. Berkemungkinan tuhan masih belum mengampunkan DOSA aku yang lalu. Hinggakan PINTU REZEKI pun masih belum dibuka.


Sepatah kata dari sahabat aku, dimana beliau pernah berkata kepada aku "Boleh jadi engkau ini pembawa SIAL."


SIAL. Apa kata dan tafsiran Dewan Bahasa dan Pustaka ?


1. tidak beruntung (selalu gagal dlm mendapat sesuatu dll), tidak bernasib baik (se­lalu ditimpa kemalangan, selalu susah, dll), celaka, malang: kami juga mengisahkan tuah ~ masa hadapan anak-anak kami; ~ benar nasib mereka; ~ dangkalan sial benar; 2. (yg) mendatangkan kecelakaan (kemalang­an dll), (yg) tidak mendatangkan keuntung­an (kebahagiaan dll): menurut kepercayaan Inggeris, nombor 13 ialah suatu angka yg ~; besok mari ikut aku, kita tinggalkan tempat ~ ini; 3. jahanam, si celaka (kata maki­an): jangan sebut-sebut lagi nama perem­puan ~ itu! ~ bercampur malang prb kehidupan orang yg sangat sengsara (segala yg dihajati tidak diperoleh); bagai menjenguk jerat ~ prb pergi ke sesuatu tempat tetapi utk sebentar sahaja, orang yg gemar berjalan-jalan; menyialkan mendatangkan sial: tidak cukup engkau dgn sial dirikau, kausialkan orang lain pula; sialan 1. orang yg (mendatangkan) sial; 2. Id jahanam, celaka (kata makian): ~ lu! kesialan perihal sial, kecelakaan: tetapi Bidin berasa takut kalau-kalau ~ wang loteri itu akan membuatkan kapal yg ditum­panginya jadi kacau.