Friday, May 1, 2009

Kata Bonda V Kata Hati


"Kena kuatkan semangat, ini semua kehendak Allah." Ibuku terus memberikan semangat. "Yang penting kita mesti redha... ada hikmah disebalik semua kejadian ini." Ibuku terus menyambung kata - kata, dan aku hanya menjadi pendengar yang setia.


Aku pasti dan aku yakin, sinar harapan tetap ada dipenghujung jalan.


Bukan sekali, bukan dua kali, malahan aku tidak tahu entah sudah berapa kali aku berusaha, namun tetap belum berjaya.


Ujian dan musibah datang bertali arus. Dan ada ketikanya tidak terjangkau dek akal ku yang cetek ini.


Pelbagai usaha dan pelbagai perkara aku lakukan. Aku tidak mahu dan tidak mampu untuk berdiam diri. Aku jual suratkhabar lama, aku jual novel, aku jual barangan herba, aku jual bendera, dan pelbagai lagi.


Aku tidak tahu dimana silapnya. Adakah aku tidak tahu menjual ? Sedangkan kanak - kanak kecil pun boleh menjual. Adakah aku tidak bijak merencanakan strategi untuk menjual ? Sedangkan saban minggu aku menghadiri kursus motivasi dan mendapat tunjuk ajar dari ramai orang yang berpengalaman bagaimana untuk menjadi jurujual yang berjaya.


Dalam satu minggu lepas sebagai contoh, aku hanya berjaya menjual 4 buah novel. Itu sahaja. Bagaimana untuk aku meneruskan kehidupan ?


Ya betul. Aku harus memulakan langkah yang kecil terlebih dahulu. Dan aku terus melangkah, sudah berbatu - batu jauhnya. Namun, hasilnya memang cukup memilukan.


Dalam fikiran aku, memang banyak perkara yang aku mahu lakukan, demi SESUAP NASI buat keluarga aku. Aku fokus dalam melakukan sesuatu. Itu yang aku belajar dari sudut motivasi. Aku tulis dan perincikan apa yang aku perlu lakukan satu demi satu. Dan aku ikut satu demi satu.


Sasaran aku tidak terlalu tinggi. Dan aku yakin mampu mencapainya. Aku fokus supaya aku dapat membuka gerai menjual ais kisar. Bukan banyak modal yang diperlukan. Tetapi sebelum aku dapat membuka gerai itu, aku perlukan modal. Maka, usaha kecil - kecilan itulah yang aku lakukan. Untuk mencukupkan modal.


Namun, Ya Allah. Engkau yang menciptakan aku. Aku redha.


Penyakit yang melanda diri aku tidak sembuh sepenuhnya. Beberapa hari dalam minggu lepas, aku masih dapat merasakan kehadirannya. Bagai hendak habis nyawa, aku rasakan.


Ayah pula sudah terlantar di atas katil di kampong. Ibu pula setiap kali berbicara melalui telefon, kedengaran suaranya terputus - putus akibat lelah dan gout. Aku berulang alik ke kampong di Taiping.


Sudahlah kami sekeluarga hanya mengharapkan elaun (bukan gaji) sebagai guru KAFA. Aku pula sudah satu tahun tidak bekerja. Dan wang elaun yang sememangnya tidak cukup itulah, aku gunakan untuk pulang ke kampong halaman.


Perit. Derita. Azab. Seksa.


Terasa hendak menangis ? Bukan terasa lagi. Tapi memang aku sudah menangis. Dan aku menangis sepuas - puasnya. Bukan di dalam masjid. Tetapi di tepi Sungai Klang, diatas jambatan.


Gerak hati ini merasakan bahawa, andainya aku terjun kedalam Sungai Klang. Pasti selesai masalah. Dan yang pasti, aku tidak tahu berenang. Dan sakitnya kerana lemas pun tidak lama.


Aku tidak tahu mengapa. Tapi kepercayaan aku kepada ulamak sudah semakin terhakis. Mereka hanya tahu 'menghukum.' Mereka hanya tahu mengajar dan berceloteh serta membuat lawak dalam kuliah.


Bila aku menceritakan kisah aku. Mereka berkata "Anta kena banyak bersabar ya sheikh."


Lalu aku berikan satu soalan "Andainya saya letakkan Ustaz di tengah - tengah Kota New York, tanpa SATU SEN pun dalam poket, dan Ustaz sudah 3 hari tidak makan, dan selama itulah, kemana sahaja ustaz pergi untuk mendapatkan kerja setelah berusaha dan temuduga, ustaz masih gagal untuk mendapat sebarang kerja ... apa yang ustaz akan lakukan ... jawab secara jujur."


Ya. Ustaz tidak mampu memberikan jawapan. Mereka terdiam seribu bahasa.


Adakah aku tidak mahu mencuba untuk mencari kerja tetap. Ya Allah, Ya Rabbi. Kalaulah betul ada. Memang aku tidak akan melepaskan peluang. Memang aku perlukan apa sahaja kerja, tapi biarlah mengikut kemampuan aku, takkan aku hendak kerja sebagai buruh binaan. Memang aku tidak mampu.


Ah, terlalu banyak pula aku berceloteh. Tapi, biarlah aku menulis, sekurang - kurangnya aku rasa puas.


Bila malam, sewaktu anak - anak aku sedang nyenyak tidur. Aku memerhatikan wajah - wajah mereka. Terasa sayu dan hiba. Apa nasib dan masa hadapan mereka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.