Tuesday, June 30, 2009

Kata dari Sahabat dan Kata dari Tuhan


Seorang sahabat berkata "Kamu jangan buat kerja gila, tinggalkan anak dan isteri di Klang, kamu seorang sahaja balik dan kerja di Taiping, boleh mati anak - anak dan isteri kamu di Klang ...banyakkan bersabar."


Seorang sahabat berkata "Kamu memang tidak ada perikemanusiaan, kamu kerja di Taiping, dan isteri kamu buat segala - galanya di Klang ... macam orang bercerai ... bersabarlah sedikit".


Seorang sahabat berkata "Kamu fikirlah semasak - masaknya ... apakah sudah habis kerja di Klang sampai kamu hendak kerja di Taiping yang belum pasti ada ... kamu memang tidak ada kesabaran langsung!"


Seorang sahabat berkata "Kamu tidak fikirkah kalau anak isteri kamu sakit, siapakah yang akan melihat dan membantu mereka ... banyakkan bersabar wahai saudaraku."


Semuanya memberikan KENYATAAN atau gambaran seolah - olah mereka begitu menyayangi dan mengasihi diri aku. Tetapi, hakikatnya, semuanya memberikan nasihat yang baik tanpa melihat dan mengetahui senario keseluruhan yang real.


Yang pasti ... TIDAK SEORANG pun yang cuba atau berusaha memberikan idea dan mencarikan kerja buat aku. Bukan aku minta mereka mencarikan kerja, tetapi cukuplah dengan memberikan panduan atau tunjuk ajar atau memaklumkan yang ada kerja ditempat tertentu.


Hanya ada seorang sahaja sahabat yang menurut fikiran aku agak bijak dalam mengendalikan situasi aku.


"Saudaraku, yang pasti hanya Allah dan kamu sahaja yang mengetahui keadaan sebenar yang kamu tempuhi disaat ini ... hidup dan mati kita ditentukan oleh Allah ... rezeki juga ditentukan Allah ... kalau kamu tinggalkan anak dan isteri kamu di Klang, tetapi Allah mahu supaya kehidupan mereka mudah ... maka mudahlah segalanya ... yang penting, kamu sudah ISTIKHARAH dan memohon petunjuk dari Allah."


Sahabat aku tidak menyebut langsung perkataan SABAR. Yang ditekankan ialah - MEMOHON PETUNJUK dari ALLAH.


# Ini adalah catatan sewaktu aku didalam keadaan dhaif. Aku rakamkan namamu wahai Sahabatku yang memberikan kata - kata yang paling berkesan dalam hidupku - MOHAMAD FADZIL.

Thursday, June 25, 2009

KERJA SAKIT


Seorang sahabat telah bertanya, mana lebih sakit antara - Sakit sewaktu bekerja dengan sakit sewaktu tiada kerja ? Sahabat aku bertanya dalam nada bergurau.


Aku menjawab dalam nada serius. Begitu serius. Tidak ada langsung roman yang manis pada wajahku.


Sakit sewaktu kerja memang sakit. Sakit tidak ada kerja, lagi sakit. Dan aku sudahlah sakit yang benar - benar sakit. Ditambah lagi dengan sakit sebab tidak ada kerja.


Ya Allah, aku adalah HAMBA ABDI MU yang MAHA LEMAH.
Ya Allah, aku adalah HAMBA ABDI MU yang MAHA DHAIF.
Ya Allah, aku adalah HAMBA ABDI MU yang telah melakukan dosa yang MAHA BESAR.


Aku sudah tidak berdaya ...


Aku hanya memohon dari MU supaya membuka pintu rezeki.


"Berilah aku pekerjaan ... supaya aku dapat membawa pulang rezeki untuk menyara kehidupan isteri dan anak - anak."


Tiba - tiba sahaja aku terfikir ... adakah aku pernah 'kurang ajar dengan tuhan?'

Monday, June 22, 2009

SELAMAT TINGGAL SAYANG


Masih aku ingat ...


22 hb Oktober 1988, buat pertama kali, aku berkelana, berhijrah dari kampong ku di Taiping untuk mendaftarkan nama sebagai pekerja Keretapi Tanah Melayu, dengan nama jawatan - Pembantu Trafik Rendah. Dengan tangga gaji pertama sebanyak RM350.00.


Kini, setelah lebih dari 20 tahun aku bekerja dan mencurahkan bakti di pelbagai sektor. Akhirnya aku terpaksa membuat keputusan yang paling menyedihkan dalam hidupku.


Aku terima ini sebagai ketentuan dari Illahi.


Kalau sewaktu aku 'keluar' dari Taiping - 20 tahun yang lalu, ibu ku memberikan wang poket sebanyak RM30. Maka, hari ini, isteri aku memberikan wang untuk membeli tiket keretapi dan wang belanja dalam perjalanan sebanyak RM30.


Kalau dahulu, sewaktu aku datang berkelana di Pelabuhan Klang, aku menaiki keretapi. Hari ini, aku akan pulang semula ke kampong aku juga dengan keretapi. Begitu nostalgia tetapi benar - benar meruntun jiwa.


Aku akan pulang ke Taiping dengan meninggalkan isteri dan anak - anak aku. Dengan nada penuh kasih sayang, aku memberikan semangat kepada isteri aku untuk menguruskan rumahtangga sepenuhnya. Dan kesemua urusan persekolahan dan apa sahaja akan diuruskan oleh isteri aku.


Aku tahu, isteri aku juga tidak akan berdaya menghadapi kesemua itu. Tetapi, aku memberikan kata perangsang.


"Bila Abang tidak ada, kena kuatkan semangat, anggaplah seperti Abang sudah tiada lagi diatas muka bumi ini ... maka sayang kena buat semuanya sendiri!"


Beberapa malam ini, sejujurnya ... air mata aku terus mengalir tanpa henti. Aku tahu ini semua adalah kehendakNYA. Aku redha. Aku pasrah.


"Ya Allah ... aku hanya mengharapkan REDHA MU."





Wednesday, June 17, 2009

Balik Kampong. Tanam Jagung.


Aku tidak tahu, siapakah manusia di Malaysia ini yang boleh hidup TANPA WANG.


Dahulu YA, aku pandai menasihati para sahabat supaya banyakkan bersabar apabila mereka mengeluh tidak cukup wang.


Mereka bukannya tidak ada wang langsung. Ada, cuma tidak cukup. Tetapi, diri aku dan keluarga. HAKIKAT kami begitu perit kerana aku langsung tidak punya wang. Bukannya sehari, tetapi sudah 15 bulan.


Dan kini, aku sudah pelajari satu lagi ilmu yang begitu penting dalam hidup ini. Umat Islam tidak dapat mengharapkan bantuan dari Lembaga Zakat atau badan yang menguruskan zakat. Kerana beberapa faktor yang remeh temeh.


Kini, akibat dari keperitan hidup yang sudah tidak tertanggung dan diluar kawalan. Aku terpaksa mengambil keputusan drastik. Iaitu, pulang ke kampong halaman aku.


Cumanya, aku terfikir, kepada siapa harus aku memohon sumbangan kewangan ?


Dalam fikiran aku, cuma ada dua tempat sahaja dimana aku boleh meminta tolong dalam keadaan terdesak. Itupun sebab mereka adalah sahabat aku. Dan mereka pernah berjanji untuk membantu yang termampu.


Pertamanya ialah kawan aku yang menjadi taukeh atau Along. Dia pernah berjanji, akan membantu dan tidak akan menggunakan sebarang kekerasan jika aku terlewat bayar. Kedua ialah seorang sahabat yang menjadi paderi di sebuah gereja di Petaling Jaya. Kami sering berjumpa dan beliau sering belanja aku makan dan minum, tetapi di tempat HALAL.


Aku rasa sedih sangat terpaksa membuat keputusan sebegini. Tetapi apakan daya. Aku sudah berusaha dengan pelbagai cara.


Tuesday, June 16, 2009

Perkembangan Maahad TAHFIZ - MATQI


Setelah 5 hari berada dirumah. Akhirnya, pada hari Ahad yang lalu, 14 hb, aku telah menghantar anak sulung aku - Muhammad Fakhrurrazi, pulang ke asrama tahfiz di Seksyen 23, Shah Alam.


Entah kenapa aku rasa sedih bila mengenangkan perpisahan sebegitu. Walaupun hakikatnya, anak aku bukannya pergi jauh. Cuma di Shah Alam sahaja. Dan kalau aku hendak melihatnya setiap hari pun tiada siapa yang melarang.


Dalam perjalanan ke asrama, anak aku berkata "Abah, kita kena kuat ... ujian ini semuanya sebab Allah hendak menguji sekuat mana iman kita."


Aku hanya tersenyum.


Tiba sahaja kami dihadapan asrama. Kelihatan orang ramai berkumpul dibahagian bawah asrama yang terletak ditingkat kedua itu. Dimana bahagian bawahnya telah dijadikan restoran.


Tiba - tiba salah seorang usaz yang mengajar telah memanggil aku "Ya sheikh ... jemput masuk ... ada juadah sikit ... kita buat kenduri pembukaan restoran...silakan."


Selepas ini, mudahlah bagi pelajar - pelajar tahfiz itu untuk makan dan minum.

Friday, June 12, 2009

Bangun, Berjalan, JATUH.

Aku berbaring didalam kawasan solat disebuah surau. Usai bersolat berjemaah. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku baru sahaja pulang dari 'meminta sedekah' dibeberapa buah gerai di kawasan Pandamaran.


Oh, betapa hinanya menjadi peminta sedekah !


Maaf, aku bukan meminta wang. Tetapi aku merayu untuk meminta kerja, andainya ada kerja kosong.


Tetapi, tidak satupun yang memerlukan pekerja. Walaupun aku melihat ramai kaum pendatang yang bekerja dikedai - kedai tersebut. Dan mereka mendapat layanan yang baik dari majikan.


Memang aku pernah terfikir untuk mencuri. Ya. Memang ada terlintas untuk melakukan perbuatan itu. Kerana bagi aku, tidak salah untuk aku melakukannya, atas alasan untuk memberi makan kepada anak - anak aku. Dari segi hukum agama, jika tidak salah ingatan aku, turut 'membenarkannya,' atas alasan darurat.


Fikiran aku memang bersimpang siur. Andainya aku bekerja sebagai buruh kasar, keupayaan aku memang terhad, atas faktor kesihatan. Tetapi bila aku berusaha melakukan bisnes, walaupun secara kecil - kecilan, semuanya terlingkup.


"Ya Allah. Aku bermohon kepada MU, Ya Allah. Ampunilah DOSA ku yang MAHA BESAR ... Ya Allah."


Aku masih buntu. Aku masih gagal. Aku sudah hampir kehabisan tenaga.

Wednesday, June 10, 2009

TENAGA LELAKI

Sakit dan sengal dibadan masih terasa, akibat urutan yang dibuat oleh ayahanda Tuan Haji Norjaie Hadi. Seorang tukang urut tradisional yang telah bertahun - tahun menjalankan tugasnya itu. Aku bertemu dengannya hampir 10 tahun yang lalu. Dan semenjak dari itu, hubungan aku dengannya semakin akrab, hinggalah aku memanggilnya 'abah.'


Namun, walaupun hubungan yang begitu akrab, aku tidak pernah 'menyerahkan' tubuhku kepadanya untuk diurut. Hinggalah disatu ketika bila mana dalam satu majlis ilmu yang diadakan baru - baru ini. Beliau terus bertanyakan kepadaku samada aku sudah sihat atau belum ?


Tuan Haji Norjaie bukanlah seorang bomoh atau pengamal perubatan tradisional. Jadi, itu sebabnya aku tidak bertemu dengannya untuk tujuan rawatan. Tetapi apabila kesihatan aku sudah begitu teruk terganggu hingga jelas dimatanya akan keadaan diri aku. Maka mahu atau tidak, aku terus berbicara panjang dengannya mengenai seluruh proses rawatan yang aku terima selama ini.


Seperti dijanjikan, maka pada 9hb Jun 2009 yang lalu. Aku bersama anak dan isteriku telah berkunjung kerumahnya.


Maka bermulalah proses tarbiyyah dari ayahanda Tuan Haji Norjaie. Seperti kebiasaannya, sebelum bermulanya proses rawatan dan urutan, Tuan Haji Norjaie akan mengadakan sessi bersoal jawab dan bertanya khabar terlebih dahulu.


Usai sessi tersebut. Maka bermulalah saat - saat genting dan cemas bagi seorang pesakit. Dimana aku terpaksa menahan sakit dan geli. Diurut tubuh aku dan 'diperbetulkan' seluruh sistem urat dan darah dalam tubuh seorang lelaki. Barulah aku terasa bagaimana kekuatan sebenar beliau.


Jika dilihat dari sosok tubuh dan usianya yang sudah melewati angka 70. Maka aku tidak menyangka sama sekali 'kekuatan' yang dimiliki olehnya. Begitu terasa sekali urutannya yang begitu mencengkam kedalam tubuh aku.


Hinggalah tiba satu ketika, sewaktu beliau sedang mengurut bahagian belakang pinggang aku, sambil berkata "kena ingat ... alat kita mesti kuat ... biar isteri kita tersenyum ... waktu alat kita dibenam kedalam lubang tu ... kita kena cari kunci yang tepat ... barulah isteri puas... tak semestinya lama ... yang penting sempurna semua tindakan kita."


Aku terus tertawa. Menahan geli dan menahan tawa.


Hampir satu jam, akhirnya sessi urutan selesai. Aku terasa segar. Begitu terasa bekas urutannya. Namun, aku juga terpaksa bertahan sewaktu memandu pulang. Maklumlah, bekas urutan menyebabkan kulit aku terasa pedih.


Aku dan isteri tertawa didalam kereta. Bila mengenangkan, lain yang difikir lain yang berlaku. Aku bertemu dengan Tuan Haji Norjaie adalah untuk mendapatkan khidmat urutan badan. Tetapi yang terjadi ialah, aku mendapat 'sentuhan' khusus untuk penjagaan dan penambahbaikan kepada tenaga kelelakian aku.


Isteri aku tersenyum dan ada ketikanya mencubit peha aku sewaktu memandu. Maklumlah, kami berbicara tentang aktiviti 'dalam bilik.'

Monday, June 8, 2009

GILA TEMUDUGA

Minggu lepas, aku pergi untuk sessi temuduga yang tidak terduga. Aku rasa macam kartun. Tetapi bukan cerita kartun. Kisah ini memang kes serius. Hinggakan pihak syarikat yang menemuduga aku menggelengkan kepala.


Segala borang telah aku lengkapkan, dilampirkan bersama segala jenis sijil yang aku ada. Cuma, satu sahaja yang aku tidak berikan, iaitu gambar foto berukuran passport.


Bila ditanya oleh pihak syarikat atau lebih tepat lagi oleh bahagian Sumber Manusia. Dimanakah gambar foto ? Maka aku menjawab dengan serius seperti ayat dibawah:


"Saya minta maaf, saya tidak dapat sertakan gambar foto seperti yang pihak tuan kehendaki, buat pengetahuan tuan, saya hanya mempunyai wang sebanyak RM5 sahaja didalam poket, saya benar - benar tiada wang, jadi saya tidak mampu untuk menyediakan gambar foto, sebab kalau saya hendak berikan gambar foto itu, harganya ialah RM10 bagi 4 keping, dan saya tidak boleh mencuci untuk satu keping sahaja, masalahnya, saya tidak mempunyai wang sebanyak itu, saya datang kesinipun dengan mengambil duit syiling dari tabung anak - anak... tetapi seandainya saya dipilih oleh pihak tuan untuk bekerja disini, maka selepas mendapat gaji pertama, saya akan usahakan untuk mengambil gambar dan berikan kepada pihak syarikat."


Aku bercakap lancar dengan semangat yang kuat untuk menahan air mata dari mengalir.


Syarikat - syarikat itu memberikan tempoh selama 3 hari untuk membuat keputusan, samada untuk memanggil aku untuk bekerja atau tidak.


Dan pada hari aku menulis entri ini, sudah masuk hari ke 4.


Aku GAGAL !

Friday, June 5, 2009

MENCEMASKAN !


Malam tadi, sewaktu dalam perjalanan pulang dari Shah Alam. Ketika tiba di persimpangan dihadapan Jaya Jusco, Bukit Raja. Tiba - tiba sahaja penyakit aku kelihatan mula hendak menyerang.


Waktu itu lampu isyarat masih merah. Aku sudah terasa telinga mula berdesing. Nafasku seakan mula menguncup. Aku mengucap panjang. Aku berselawat keatas Nabi Muhammad.


Aku berada berseorangan didalam kereta. Jam menunjukkan pukul 12.15 minit tengah malam. Aku melawan habis - habisan. Aku tenangkan diri aku. Aku mula berasa resah gelisah.


Terasa sakit dibahagian tangan kiri aku. Dada ku terasa berombak. Aku rasa seperti hendak keluar dari kereta dan menjerit minta pertolongan.


Kereta yang aku pandu sendirian itu, terhoyong - hayang. Aku terasa bagaikan hendak tercabut nyawaku.


YA ALLAH. YA ALLAH. YA ALLAH.


YA ALLAHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHH !!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Tuesday, June 2, 2009

RAWATAN lagi ...


Semalam, sekali lagi aku dan isteri bersama dua orang anak, meredah malam menuju ke sebuah rumah di kawasan Puchong untuk tujuan rawatan.


Kalau ikut hatiku, aku memang sudah tidak mahu lagi untuk pergi berubat. Aku hanya mahu berserah sepenuhnya kepada Allah. Terpulang kepada Allah, samada mahu menghidupkan aku atau mematikan aku.


Sudah habis wang simpanan untuk tujuan berubat. Aku membiarkan beberapa hari sebelum itu untuk isteri aku memikirkan adakah mahu pergi atau tidak. Tetapi isteri aku bertegas, katanya, biarlah dia gunakan wang simpanan nya untuk tujuan rawatan aku.


Sepanjang perjalanan, aku berhenti di sebuah kedai untuk membeli air mineral bagi tujuan yang semua orang sudah tahu. 3 botol besar. Aku berhenti lagi untuk mengisi minyak, keluar lagi RM10.00. Duit TOL lagi.


Bila aku sampai, hanya ada seorang sahaja pesakit yang sedang bercakap dengan tuan rumah. Tidak sampai 10 minit. Aku dipanggil 'menghadap.'


Aku memberikan salam. Dan bila ditanya apa masalah. Aku dan isteri terus menceritakan segala perkara yang terjadi dalam satu tahun ini. Tuan rumah terus membacakan ayat - ayat suci Al Quran dan dihembuskan kedalam botol.


Kali ini memang berlainan. Kesemua proses rawatan pesakit yang aku temui semuanya lelaki. Dan kali ini, orang yang merawat ialah seorang wanita yang sudah berumur dalam lingkungan 50 tahun.


Usai proses itu. Kami pun memohon diri untuk pulang. Dalam perjalanan pulang, barulah aku membuka cerita.


"Sejak waktu Maghrib lagi, perut abang sudah terasa berangin yang agak banyak, terasa hingga ke bahagian dada, jantung terasa berdebar, fikiran bercelaru ... abang terasa mungkin abang akan mati ... tapi abang kuatkan semangat dan banyak beristighfar ... dan semakin lama semakin menjadi ... dalam perjalanan ke rumah orang itu tadi ... Alhamdulillah, sekarang sudah rasa semakin lega."


Aku berharap semoga rawatan itu akan berhasil.


Aku hanya berserah diri kepada Allah.