Monday, July 27, 2009

Membuka Minda.


Hampir semua sahabat, kenalan dan saudara memberikan satu nasihat dan satu perkataan - BERSABAR. Dan setakat itu sahajalah penyelesaiannya. Tidak ada satu usaha untuk memberikan aku harapan dan laluan yang jelas bagaimana untuk aku keluar dari himpitan hidup.


Syukur Alhamdulillah. Masih ada makhluk ciptaan Allah yang mempunyai daya fikir yang berupaya membantu manusia lain.


Seorang sahabat, yang telah berkata kepada aku "Engkau cuba lihat bara yang menyala, kelihatan cantik, panas, tetapi dalam masa yang sama kelihatan menakutkan".


Sahabat aku terus menyambung "Cantik dan panas ... itu adalah kemahuan dan kehendak manusia ... tetapi menakutkan adalah persepsi manusia... maka, kamu cuba ambil satu idea, iaitu membuka bisnes tanpa memerlukan modal ... kalau adapun, terlalu sedikit ... dan kamu jadikan bisnes itu satu yang kelihatan cantik dan panas".


Aku termangu .... "mana ada bisnes tanpa modal?" Aku menyatakan kehairanan.


Lalu dalam ketawa, sahabat aku berkata "Engkau pernah dengar bisnes yang hanya menggunakan modal air liur?"


Akhirnya, tanpa disengajakan, aku tertawa jua ....

Monday, July 20, 2009

Umatku umpama buih dilautan ...


Renungan disaat - saat genting ...


Andainya satu ketika nanti. Anak - anak aku membaca entri disini. Maka, Abah ingin menyatakan dan menceritakan bahawa. Diwaktu Abah menaip entri ini, Abah benar - benar berada didalam keadaan yang amat tertekan.


Abah hanya mampu bertafakur dan beristighfar. Memohon dan memohon dan memohon dan terus memohon kasih sayang dan bantuan serta pertolongan dari Allah.


Segala yang Abah buat, semuanya tidak menjadi. Sudah hampir 100 tempat Abah pergi untuk sessi temuduga, semua masih belum berjaya. Bisnes yang Abah usahakan masih belum kelihatan sebarang tanda untuk dijadikan sumber rezeki.


Disaat ini juga. TIDAK ADA seorang manusia pun yang mengetahui penderitaan hidup Abah memelihara anak - anak. Dan kalau ada yang tahu pun, ramai yang hanya mampu berkata - BERSABARLAH.


Sejujurnya, Abah sudah tidak tahu kemana hendak pergi. Apa yang perlu dilakukan. Buntu sebuntu buntunya.


Teringat Abah akan sebuah hadith nabi yang berbunyi. Diakhir zaman kelak umat aku akan menjadi seperti buih di lautan. Bilangan mereka terlalu ramai, tetapi mereka tidak ada kekuatan langsung.


Wahai anak - anak ku. Seandainya satu ketika kelak, kita berjaya mencapai segala kemewahan dunia. Maka, jangan kita lupa untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan.


Jangan SESEKALI kamu berkata kepada fakir, miskin, orang - orang yang dhaif , dan orang - orang yang meminta bantuan - BERSABARLAH.


Berikan apa sahaja yang kamu ada. Ingat, setiap harta yang kamu berikan kepada orang yang memerlukan, maka Allah akan gantikan dengan yang Maha Hebat.


Hatta, percayalah dengan ajaran Islam. Bahawasanya harta yang kita berikan dan belanjakan untuk jalan Islam. Maka Allah akan gantikan dengan sehebat - hebat gantian dan ganjaran yang tidak terfikir oleh kita.


Wahai anak - anak ku. Janganlah engkau biarkan jiran kita berada didalam kesusahan. Hatta jika mereka berada didalam kelaparan. Maka di akhirat kelak KAMU akan dipertanggungjawabkan !


Wahai anak - anak ku. Abah masih menunggu bantuan dari 'langit.'

Friday, July 17, 2009

RANGKA yang bersemangat...


Umpama sebuah kereta, tanpa enjin, tanpa tayar, tanpa sebarang perlatan didalamnya. Cuma dan semata - mata badan atau rangkanya sahaja.


Begitulah aku disaat ini. Hendak memulakan sesuatu yang baru. Perkara yang tidak pernah aku lakukan. Tanpa asas pengetahuan. Tanpa bantuan dari rakan sekerja. Tanpa modal asas.


Dalam tempoh beberapa minggu ini. Memang fikiran aku terlalu kusut. Aku tidak mahu memikirkan tubuh aku yang lemah akibat penyakit yang aku tanggung. Aku tidak mahu memikirkan sangat nasib badan dan nasib isteri dan anak - anak aku. Bagi aku, semua itu adalah ujian dari Allah.


Andainya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada diri aku atau keluarga aku. Apa lagi yang boleh aku lakukan dalam keadaan aku sebegini. Aku redha dan pasrah sahaja.


Hendak diharapkan kepada umat Islam atau badan Islam atau badan kebajikan Islam. Rasanya usaha aku HAMPA sahaja. Aku memang tidak hairan langsung andainya ramai umat Islam yang telah MURTAD, akibat kurang daya tahan menanggung penderitaan.


InsyaAllah, berbekalkan semangat yang masih bersisa. Aku teruskan juga usaha untuk melakukan sesuatu yang terbaik buat keluarga aku. Aku mahu lakukan sesuatu yang sukar dilakukan oleh seorang manusia.


Aku mahu berjaya, walaupun tanpa - tangan, kaki, mata, telinga.

Saturday, July 11, 2009

DIARI KEHIDUPAN. Tanpa tapisan !


Sudah hampir seminggu aku tidak menulis disini. Bukan kerana malas, tetapi aku memang tidak sempat untuk menulis atau meninggalkan sebarang catatan.


Blog ini adalah blog yang benar - benar peribadi. Hanya ada beberapa orang saudara dan sahabat sahaja yang mengetahui tentang kewujudan blog ini. Kalau dahulu, kita menulis diari. Tetapi kini, semua yang berlaku dalam kehidupan seseorang terakam didalam pelbagai cara. Ada yang menulis didalam diari atau buku catatan. Ada yang menulis didalam blog peribadi, samada untuk bacaan sendiri ataupun untuk dikongsi pengalaman bersama orang lain. Dan yang terkini, ramai yang menulis atau mencatatkan perjalanan kehidupan seharian didalam 'facebook.'


Dalam seminggu ini, aku benar - benar sibuk. Semuanya adalah untuk menyelesaikan begitu banyak urusan keluarga. Dan aku benar - benar letih. Terlalu banyak membuat perjalanan jauh.


Andainya catatan ini 'dibuka' untuk tatapan umum satu hari nanti. Maka, perlu diingat, ini adalah catatan peibadi dari 'isi hati' aku sendiri yang melihat dengan mata aku sendiri, mengalaminya sendiri dan aku tuliskan diruangan ini. Jika ada sesiapa yang 'terasa hati' dengan catatan disini, mereka tidak perlu kecil hati, kerana yang pasti, ramai saudara mara dan sahabat yang melakukan banyak perkara yang mengguriskan hati dan perasaan aku.


Diwaktu aku menulis ini, aku masih tidak mempunyai pekerjaan tetap. Sudah lebih dari 15 bulan kehidupan aku merana, azab, sengsara. Dan penyakit yang aku tanggung juga belum kelihatan tanda pemulihan yang berkesan.


Hampir semua sanak saudara yang mengetahui keadaan diri aku yang sebenar, tetapi sayangnya, semuanya hanya mengeluarkan sepatah perkataan sahaja iaitu - KASIHAN, BERSABARLAH.


Tidak ada langsung usaha mereka untuk membantu aku dengan cara yang terbaik. Samada untuk mencarikan kerja, atau mencuba untuk membantu dalam pelbagai cara yang baik dan munasabah.


Hanya seorang sahaja sahabat aku yang sering menghubungi aku untuk bertanyakan khabar. Dan bertanya, samada 'beras, gula, garam' masih ada dirumah aku ataupun sudah habis. Masih aku ingat dan sengaja aku catatkan tulisan disini. Pernah sekali aku 'diserang' penyakit misteri ini, lalu aku mengirimkan sms untuk memohon bantuan dari sahabat aku, bertanyakan andai beliau mengetahui mana - mana bomoh, atau pawang atau dukun yang boleh membantu. Lantas sahabat aku ini mengesyorkan satu tempat untuk berubat, dan bukan itu sahaja, sahabat aku ini terus sahaja memasukkan sejumlah wang kedalam akaun aku. Untuk tujuan berubat katanya.


Andainya ditakdirkan, satu ketika Allah mengubah nasib aku. Menjadikan kehidupan aku jauh lebih baik dari sekarang. Maka, catatan disini juga akan turut berubah. Kepada pembaca sekalian, jangan baca satu entri sahaja, TETAPI, bacalah keseluruhan entri untuk mengetahui kisah sebenar kehidupan aku.


Diwaktu ini - 12/07/2009.


Setelah lebih dari 15 bulan aku merana, sengsara dan derita. Aku telah pelajari begitu banyak perkara. Jelas kelihatan dimata, bagaimana aku dihina. Aku tidak dipedulikan. Suara aku adalah 'sampah' yang tidak mahu didengari oleh sesiapapun !


Jadi, bermula dari tarikh entri ini aku tuliskan. Aku telah nekad untuk mengambil keputusan drastik. Aku tidak mahu bercakap banyak.


Kini, baru aku tahu hakikat kehidupan yang sebenarnya. Aku perhati dan aku teliti SETIAP orang atau individu dalam keluarga aku, saudara mara aku, sahabat aku dan kawan - kawan aku. Aku TAHU, siapa yang telah membantu aku dengan seikhlasnya.


Yang pasti. Adik - adik kandung aku, benar - benar menunjukkan sikap sebagai saudara kandung. Mereka bukan sahaja menyatakan simpati, malah mereka telah berusaha bersungguh - sungguh untuk membawa ABANG mereka untuk keluar dari kesusahan. Begitu banyak pengorbanan mereka untuk aku ! Hakikatnya, kehidupan mereka juga susah.


Dimalam yang sunyi. Aku duduk keseorangan. Menghadapkan wajah aku. Menghadapkan tubuh aku. Mengangkat tangan memohon kehadrat Allah. Sesuatu yang terbaik buat diri aku, isteri dan anak - anak aku dan saudara kandung aku dan sahabat yang banyak membantu aku selama ini.

Sunday, July 5, 2009

Terkulai layu ...


Selama lebih dari satu tahun. Menanggung pelbagai ujian dan musibah. Dalam keadaan diri aku yang tidak stabil. Aku terus berusaha menemui pelbagai pihak untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.


Kesemua mereka yang aku temui yang pakar dalam bidang masing - masing menyatakan satu perkara yang sama. Aku terkena buatan orang. Aku dizalimi. Aku terkena sihir.


Aku seperti tidak percaya. Namun, kejadian demi kejadian yang berlaku selama tempoh ini membuatkan aku terpaksa menyedari dan menerima hakikat ini.


Aku masih dalam keadaan tergamam. Masih dalam keadaan terkejut. Masih dalam keadaan bingung. Masih dalam keadaan sedih. Masih dalam keadaan pilu yang teramat sangat. Aku masih berada didalam keadaan yang tidak ketentuan dan ketidakpastian ...


Beberapa hari yang lalu, telah muncul seorang insan yang berhati mulia. Telah menyatakan kesediaan untuk membantu aku membina kembali hidupku yang telah terumbang ambing lebih dari setahun ini.


Aku terima huluran bantuan kemanusiaan itu dengan hati yang berbunga. Aku berasa bangga, kerana akhirnya ada juga insan yang bersedia membantu aku dan keluarga yang sedang azab, sengsara menanggung penderitaan dalam hidup ini.


Insan berhati mulia ini telah memberikan idea yang begitu baik sekali untuk aku teroka. Aku bersemangat semula untuk memulakan hidup ini, dan mencari nafkah buat keluarga.


Aku begitu takjub dengan keprihatinan insan ini. Dimana selama beberapa hari, beliau bertungkus lumus untuk menunjukkan arah atau jalan untuk menuju kejayaan.


Tetapi, rupa - rupanya, langit yang kulihat cerah ... tiba - tiba sahaja ...


Insan berhati mulia ini terpaksa menarik diri disaat - saat aku baru hendak mula bernafas ... dan bertatih...


Walau apapun keputusan insan ini, aku ingin merakamkan ucapan TERIMA KASIH atas keprihatinan beliau terhadap aku sekeluarga.


Aku tidak mampu untuk berbuat apa - apa. Aku masih dalam keadaan terlalu lemah. Dan kini, aku terpaksa mencari semula 'talian hayat.'


Tiba - tiba sahaja telinga aku terngiang - ngiang dengan ucapan seorang sahabat aku yang berugama Kristian "Saudara, jangan bimbang, Yesus sentiasa akan membantu ..."


Thursday, July 2, 2009

KOS UBAT MAHAL


Sakit. Sakit. Sakit.


Anak ke 5. Adam Muhammad Behjad. Telah mendapat sakit. Aku tidak pasti sakit apa, tetapi seperti kudis atau kayap dibahagian bawah lengan. Aku dan isteri membawa ke Klinik Kerajaan di Pandamaran. Setelah diperiksa. Doktor menyatakan bahawa, itu adalah sakit kulit yang normal.


Namun, inilah kali pertama, pihak klinik hanya memberikan ubat sapu sahaja. Manakala ubat antibiotik perlu dibeli di farmasi luar.


Pihak klinik kerajaan menyatakan bahawa ubat itu mahal. Dan mereka tidak menyediakan ubatan itu.


Sewaktu pulang. Aku telah singgah di beberapa buah farmasi sekitar Pelabuhan Klang dan Klang.


Sejujurnya, apabila dipantau harganya dibeberapa buah farmasi. Harga antibiotik itu dipasaran ialah antara RM25 - RM30. Mana aku mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu.


Kini, aku BERSERAH diri dan BERTAWAKAL sepenuhnya kepada Allah.


Adakah aku bersikap zalim ?


Ya Allah. Engkau Maha Mengetahui.