Tuesday, August 11, 2009

Lurus atau berliku ?


Sekarang bukan zaman bermenung ...


Itulah lirik lagu yang dinyanyikan semula oleh Raja Pop Jamal Abdillah.


Tidak ada masa untuk bermenung. Tetapi aku akan tetap memerlukan masa untuk merancang dan merancang dan terus merancang.


Buka mudah untuk merancang dalam keadaan 'buta' dalam serba serbi. Tetapi, daripada aku mendiamkan diri, lebih baik aku terus merancang dan mempunyai wawasan jelas untuk hidup aku dan keluarga.


Aku hampir tertawa yang tidak dapat dibendung. Bila satu soalan mudah dilontarkan oleh isteri aku. Tetapi aku sendiri tergagap untuk menjawabnya.


"Kenapa Abang hendak tampal iklan berbayar didalam bangunan ? Bukankah banyak pokok ... tampal sahaja di pokok atau di dinding perhentian bas ... kita bukannya ada modal."


Aku hanya merenung tajam mata isteriku. Tetapi mulut aku terkunci. Apa yang dikatakan oleh isteri aku memang ada kebenarannya.


Emel sudah ... jejak bertapak di blog sudah ... bercakap dari mulut ke mulut pun sudah ... jadi apa lagi yang aku perlu lakukan untuk mengiklankan perkhidmatan atau bisnes aku ?


Hari ini, aku mencari kedai kereta yang boleh memasang peralatan untuk meletakkan tangga diatas kereta Kancil aku. Aku ingatkan senang, rupanya hampir seluruh kedai di Klang, Bandar Bukit Tinggi tidak menjualnya. Melainkan ada sebuah gerai tembaga yang boleh melakukannya tetapi dengan harga yang tidak masuk akal.


Aku harus berusaha lagi ... dan lagi ... dan lagi ...


Untuk ke puncak dunia, aku harus melalui jalan, atau laluan atau tangga yang berliku. Jangan pedulikan tentang masalah, tapi fikirkan tentang pengalaman yang bakal diraih sepanjang perjalanan.

Friday, August 7, 2009

Cahaya Baru. Harapan Baru.


Aku merasa sungguh terharu. Bukan kepalang. Terasa seperti rezeki 'turun' dari langit.


Seorang HAMBA ALLAH, telah memasukkan sejumlah wang, kerana Allah, untuk membantu aku membina semula kehidupan yang hampir musnah.


Sungguh aku terasa bagikan bermimpi. Setelah 16 bulan kehidupan aku tidak seperti manusia yang lain. Dan aku cuba untuk bangkit semula. Dan aku terus merayu, merintih kehadrat Allah, akhirnya, dengan kehendakNya juga, aku terasa seperti seseorang telah 'diutuskan' untuk membantu aku, yang serba - serbi kekurangan.


Tidak menunggu lama, sebaik mengambil wang dari mesin, aku terus menghala ke sebuah kedai menjual barangan pertukangan.


TANGGA. Itulah bahan pertama dan paling utama yang aku perlukan dalam usaha untuk memulakan kembali survival aku dalam bisnes ini.


Sebaik TANGGA itu aku bawa balik. Anak - anak aku keriangan. Seolah - olah TANGGA itu bakal membawa keluarga keluar dari himpitan hidup.


YA. Dan INSYAALLAH. TANGGA itulah yang akan menjadi faktor perubahan dalam bisnes aku. Setelah aku memulakan bisnes ini, antara yang menjadi penghalang utama untuk menerima tawaran ialah kekurangan alatan dalam bisnes.


Sekarang bukan lagi masa untuk aku berehat. Sekarang adalah waktu dimana aku perlu berjuang bermati - matian. Setelah lebih dari 100 kali aku berusaha dan menghadiri sessi temuduga, dan tetap gagal, dan setelah usaha aku untuk berniaga tidak menampakkan sebarang usaha kearah kejayaan. Kini, aku perlu bersedia dan terus melawan, anasir - anasir yang boleh menggugat kehidupan aku.


Aku bukan sahaja perlu bersaing dengan peniaga lain. Dan ini merupakan persaingan yang sihat. Aku juga perlu melawan 'anasir jahat' yang berada dalam diri aku. Yang telah berusaha untuk menakluki diri aku selama ini.


Bak kata seorang pemimpin hebat di negara kita "LAWAN TETAP LAWAN!"

Tuesday, August 4, 2009

Kasih Saudara


Semakin banyak yang aku pelajari dari sehari ke sehari. Terlalu banyak.


InsyaAllah, satu ketika nanti, aku akan senaraikan nama - nama insan yang telah membantu aku membina semula kehidupan aku selama ini.


Mereka - mereka inilah yang membantu tanpa mengharapkan balasan. Membantu sedaya upaya. Membantu tanpa bertanya apa yang mereka akan perolehi dimasa hadapan.


Sememangnya mereka - mereka inilah yang begitu dekat dihati aku. Aku terasa begitu sayu dan terlalu gembira. Masih ada lagi manusia yang berhati mulia seperti mereka.


Wahai anak - anakku. Bukan semua saudara mara terdekat akan membantu dan menghulurkan bantuan. Tetapi mereka yang bukan sedarah daging dengan kita yang akan berusaha dengan segala kudrat yang mereka ada untuk membantu Abah diwaktu kita dalam kesusahan.


Oleh itu wahai anak - anakku. Sentiasalah berbuat baik dengan sesiapa sahaja. Ingatlah pesanan orang tua - tua "Bersaudara sewaktu berada."


Kuatkanlah hatimu dan kukuhkanlah semangatmu wahai anak - anakku. Abah menulis berdasarkan pengalaman yang begitu perit dan menyeksakan sekarang.